Sabtu, 22 Ogos 2015

JDT sah kejuaraan, Pahang persiakan peluang

SABTU, 22 OGOS 2015 @ 10:46 PM JDT sah kejuaraan, Pahang persiakan peluang Oleh Mohd Fitrie Muhamad Azizan Hashim Faizul Azlan Razak Norizuan Shamsuddin bhonline@bh.com.my KUALA LUMPUR: Kekalahan 2-1 yang dilakar Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan terakhir Liga Super 2015 menentang FELDA United tidak menghalang pasukan diberi jolokan Harimau Selatan itu dinobatkan selaku juara, malam ini. Hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan misi untuk menang, sebaliknya berlaku terhadap penyandang juara itu apabila FELDA jelas tampil lebih bertenaga namun ia masih belum menghalang JDT mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

      Begitupun, skuad bimbingan Mario Gomez itu harus berterima kasih kepada Terengganu yang tampil bergaya dengan menewaskan Pahang 3-1. Kejuaraan Liga Super kali ini terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir selepas JDT dan Pahang masing-masing berpeluang untuk mengucup kejuaraan berprestij itu dengan kedua-duanya hanya dibezakan dua mata. Dikuatkan dengan ribuan penyokong yang membanjiri stadium, JDT begitupun seakan gagal menyerap tekanan apabila dikejutkan dengan jaringan awal FELDA menerusi Shahrul Saad pada minit keempat.

      Pelawat terus tertekan apabila terpaksa bermain 10 pemain apabila Junior Esdtal menerima kad merah dengan FELDA menambah jaringan menerusi penalti Indra Putra Mahayudin pada minit ke-11 dengan gol sagu hati JDT dijaringkan pada babak kedua menerusi Luciano Figueroa. Gomez ketika ditemui selepas perlawanan mengakui pemainnya mengalami kesukaran apabila terpaksa beraksi 10 pemain namun kejuaraan liga tidak ditentukan dengan satu perlawanan.

      "Kejuaraan lebih penting. Perlawanan ini sudah berlalu. Terima kasih kepada bos saya, dan juga pemain-pemain saya. Bagi saya, ia perlawanan yang baik namun kurang satu pemain memang menyukarkan," kata Gomez.

      Di Stadium Sultan Mizan, Pahang terpaksa menggigit jari sekalipun tampak garang di awal permainan. Selepas jaringan Dickson Nwakaeme dibatalkan pengadil perlawanan kerana mengasari penjaga gawang, Mohd Sarbinee Allawee, Pahang tampak lesu dengan Terengganu meledak gol pertama menerusi pemain import, Issey Nakajima-Farran. Seakan tersentak dengan jaringan itu, Pahang terus ketinggalan apabila tuan rumah meledak jaringan kedua menerusi Ashaari Shamsudin pada minit ke-32.

 Bersambung babak kedua, Pahang cuba melakukan kebangkitan dengan merapatkan jaringan menerusi Damion Stewart pada minit ke-47. Begitupun, kemenangan yang diharapkan bertukar duka apabila Terengganu menambah jaringan ketiga menerusi Mohd Nasril Izzat Jalil pada minit ke-66. Dalam pada itu, Selangor mengesahkan kedudukan tempat ketiga liga selepas membenam Perak 2-0. Perlawanan lain menyaksikan PDRM membenam ATM 3-2, Lions XII menewaskan Sime Darby FC. 3-0 dengan Kelantan menewaskan Sarawak 2-3.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/76633

TERKINI MASA KEDUA PERLAWANAN LIGA SUPER 22.8.2015


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
LIONS  3-0  SIME DARBY

PDRM 3-2  ATM

KELANTAN 3-2  SARAWAK

PERAK 0-3  SELANGOR

FELDA UNITED 2-1  JOHOR DT


TERENGGANU 3-1 PAHANG

KEPUTUSAN MASA PERTAMA PERLAWANAN LIGA SUPER 22.8.2015


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
LIONS  2-0  SIME DARBY

PDRM 1-0  ATM

KELANTAN 1-0  SARAWAK

PERAK 0-1  SELANGOR

FELDA UNITED 2-1  JOHOR DT


TERENGGANU 2-0 PAHANG

Sabtu, 8 Ogos 2015

Safee julang Johor DT


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
PEMAIN ATM, Mohd. Azreen Zulkapli (kanan) cuba menghalang pemain Johor DT, S. Kunalan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) kembali menghidupkan peluang terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kejayaan itu hadir menerusi penyerang kebangsaan, Safee Sali yang meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-70, sekali gus membantu skuad kendalian Mario Gomez me­rampas status pendahulu liga dari Pahang yang tewas 2-4 kepada Lions XII.

Bekas pemain Selangor, Safee bijak menyempurnakan hantaran tendangan sudut dari S. Chanturu sebelum mudah menewaskan penjaga gol pasukan tuan rumah, Hafizuddin Azuhar.

Skuad Harimau Selatan bakal menanti kunjungan Lions XII di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala ATM yang kini menduduki tangga kedua tercorot liga dengan pungutan 10 mata, akan menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Dalam perkembangan sama, hasrat Pahang untuk terus memberikan tekanan kepada juara bertahan, Johor DT tidak kesampaian apabila pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan tewas 2-4 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singa­pura.

Wakil Singapura itu tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi Faris Ramli seawal minit ke-17 sebelum Madhu Mohana menggandakan kedudukan pada minit ke-30.

Penyerang import Argentina, Matias Conti kembali mengurangkan defisit jaringan perlawanan apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-43 tetapi Faris sekali lagi memastikan pasukan tuan rumah berada di dalam keadaan selesa dengan meledak gol ketiga Lions XII pada minit ke-59.

Safuwan Baharudin tidak ketinggalan untuk melakar nama selaku penjaring pada minit ke-85. Pahang yang memperoleh gol kedua menerusi jaringan R. Surendren pada masa kecederaan, terpaksa akur dengan keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas aksi tersebut, Pahang bakal menanti kunjungan Kelantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala Lions XII bertemu pendahulu Liga Super, Johor DT.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3iGjG9cW3 Hakcipta terpelihara

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN LIGA SUPER 8.8.2015


OLEH – AHMAD BIN YAAKOB

LIONS XII 4-2 PAHANG

ATM  0-1 JOHOR DT

PERAK 0-2 FELDA UNITED

SIME DARBY 1-3 SELANGOR

KELANTAN 1-2 TERENGGANU


SARAWAK 2-3  PDRM