HASBULLAH (dua dari kiri)
dilayangkan kad merah pada minit ke-12. FOTO Johor Southern Tigers
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat Johor
Darul Ta’zim (Johor DT) untuk meraih tiga penuh tidak kesampaian apabila
sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan kelab Myanmar, Magwe FC pada
perlawanan kedua Kumpulan F Piala AFC Stadium Thuwunna Youth Training Centre,
Yangon, semalam.
Skuad bimbingan Benjamin Mora
terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir keseluruhan permainan selepas
Hasbullah Abu Bakar dilayangkan kad merah kerana mengasari Lwin Kway Zin pada
minit ke-12.
Bagaimanapun Magwe nyata
mempamer corak permainan pantas pada awal permainan dan hampir mendahului
tetapi rembatan jarak jauh Linn Kyaw Swar pada minit ke-10 berjaya diselamatkan
penjaga gol Johor DT, Farizal Marlias.
Dua minit kemudian, kedudukan
Johor DT bertambah sukar selepas Hasbullah dibuang padang.
Kedudukan itu nyata menyukarkan
Johor DT untuk merencana strategi, sebaliknya Magwe memanfaatkan peluang dengan
melakukan beberapa percubaan tepat.
Paling hampir untuk Magwe di
depan adalah pada minit ke-24 tetapi tandukan kapten Aung Htoo Htoo berpunca
daripada sepakan penjuru berjaya dinafikan oleh Farizal.
R Gopinathan akhirnya melegakan
kem Johor DT apabila menjaringkan gol pendahuluan selepas menyempurnakan
hantaran cantik S Chanturu pada minit ke-27.
Bersambung separuh masa kedua,
Htoo Htoo sekali lagi mengancam kubu Johor DT pada minit ke-53 tetapi rembatan
derasnya sedikit tersasar dari gawang gol.
Tonggak import Johor DT Brian
Ferreira hampir menambah gol kedua pada minit ke-60, namun rembatan jarak
jauhnya sedikit tersasar ke penjuru kanan gawang gol lawan.
Usaha Magwe untuk mencari gol
penyamaan akhirnya membuahkan hasil menerusi gerakan solo Sylla Sekou pada
minit ke-89 selepas Farizal meluru keluar lebih awal.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 8:35 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan