Mohamad Fazrul Abdul Majid
3 Jun 2017
Farizal
“SEJAHAT - jahat saya, tak
pernah lagi saya tolak pengadil”. Demikian komen ringkas bekas pemain
kebangsaan, Khalid Ali apabila diminta mengulas mengenai insiden kad merah
membabitkan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias pada
perlawanan separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara menentang Ceres
Negros, tempoh hari, lapor MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID.
Beliau menyifatkan tindakan
Farizal sebagai kurang ajar dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain
bola sepak profesional.
Ujarnya, tindakan itu bukan
hanya akan mengakibatkan Farizal dijatuhi hukuman berat seperti penggantungan
dan denda, malah ia juga berpotensi membunuh kariernya.
"Sayang sekali, dia
(Farizal) masih lagi muda dan tindakan ini mungkin akan beri kesan kepada karier
bola sepaknya.
"Bagi saya, dia memang
antara penjaga gol terbaik di negara kita, tetapi tindakannya itu tersangat
memalukan, bukan hanya kepada pasukan JDT tetapi juga imej bola sepak negara.
"Sudah tertulis dalam
undang-undang bola sepak walau sejauh mana kita tidak berpuas hati dengan
keputusan pengadil, pemain tidak boleh menyentuh pengadil, apatah lagi
melakukan kekasaran," katanya.
Justeru, untuk menyelamatkan
kariernya, Khalid meminta Farizal untuk membuat permohonan maaf secara terbuka
kepada pihak terbabit sebelum hukuman dijatuhkan.
"Nak selamatkan dirinya
mungkin ada satu cara sahaja iaitu membuat permohonan maaf kepada pengadil
berkenaan dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Tidak kiralah sama ada
permohonan maaf terbuka melalui video atau bertulis, mahu atau tidak dia kena
melakukan semua ini sebelum hukuman dijatuhkan.
"Dia juga kena mengakui
kesilapan yang telah dilakukan kerana terang-terangan menunjukkan dia telah
melakukan kekasaran kepada pengadil berkenaan," katanya.
Kelmarin, media melaporkan
Farizal bakal berdepan hukuman berat yang boleh menyebabkan beliau didenda dan
digantung daripada bermain dalam saingan Piala AFC musim depan.
Lebih teruk lagi, Farizal turut
bakal berdepan tindakan penggantungan daripada beraksi dalam Liga Malaysia
(Liga-M) memandangkan kedudukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang
bernaung di bawah AFC.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 3 Jun 2017