AKSI JDT menentang Muangthong United FC dalam saingan pusingan kedua
kelayakan ACL. -Foto Facebook Muangthong United FC
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais reda dengan kekalahan
2-5 pasukannya di tangan Muangthong United FC pada aksi pusingan kedua
kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Nasional Supachalasai,
Bangkok, Thailand, semalam.
Katanya, banyak aspek yang harus diperbaiki selepas beberapa kesilapan
mudah yang dilakukan pemain menyebabkan hasrat untuk mencipta kemenangan sekali
gus layak ke pusingan ketiga tidak kesampaian.
Beliau menegaskan, rombakan kecil terpaksa dilakukan pada saat akhir
selepas penyerang import, Luciano Figueroa yang pada awalnya berada dalam
perancangan terpaksa diketepikan.
“Luciano (Figueroa) mengalami jangkitan tonsil. Jadi dia tidak dapat
diturunkan walaupun sepanjang aksi persahabatan pramusim, dia pemain paling
menyerlah.
“Corbin Ong yang beraksi di posisi bek kiri pula tidak dapat diturunkan
kerana masalah pendaftaran di saat akhir manakala Marcos Antonio belum pulih
sepenuhnya dan kami mahu dia beraksi pada perlawanan menentang Kedah nanti.
“Tidak dinafikan pengalaman Muangthong yang pernah beraksi di saingan ACL
menjadi jurang perbezaan antara kedua-dua pasukan kerana kami tidak pernah
beraksi di peringkat itu menyebabkan pemain tidak fokus dan kerap buat
kesilapan,” katanya.
Bagaimanapun, Morais menegaskan ia adalah cita-cita JDT untuk cuba beri
saingan dan seharusnya berbangga sebagai satu-satunya pasukan di Malaysia yang
sudah tiga musim berturut-turut beraksi di kelayakan ACL.
“Kalah atau menang, itu adat permainan, yang utama adalah pengalaman. Saya
tetap berpuas hati namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki.
“Apapun saya akan berbincang dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim, Pengarah Sukan, Martin Prest dan Pengarah Teknikal, Allistair
Edwards bagi memperkemaskan lagi pasukan JDT,” kata Morais.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 11:00 AM