Devinder Singh
devinder@nst.com.my
KRISIS dalaman dihadapi Johor
Darul Ta'zim (JDT) disusuli dengan kekalahan 2-0 di tangan kelab Vietnam Song
Lam Nghe An dalam aksi Piala AFC di Stadium Vinh sebentar tadi.
Selepas pengendalinya Ulisses
Morais meletak jawatan atas sebab peribadi, penyerang prolifik Jorge Pereyra
Diaz pula meninggalkan kelab secara tiba-tiba ketika pasukan berhenti di
Singapura dalam perjalanan ke Vietnam.
Pengendali sementara Raul Longhi
turut kehilangan bisa di barisan depan apabila penjaring berbisa Gonzalo
Cabrera tidak didaftarkan dalam pertandingan peringkat Asia itu manakala
benteng kental Marcos Antonio tidak ikut serta dalam perlawanan ini.
JDT bergelut untuk mencipta peluang
dengan ketiadaan Diaz dan Cabrera, manakala gandingan Safawi Rasid dan Ahmad
Hazwan Bakri tidak banyak membantu Luciano Figueroa di barisan depan.
Malah JDT perlu berterima kasih
kepada penjaga golnya Farizal Marlias yang bertindak cemerlang memastikan
pasukan tidak pulang dengan kekalahan lebih besar pada perlawanan ketiga di
tempat lawan musim ini selepas tewas kepada Muangthong United (5-2) dalam aksi
kelayakan Liga Juara-Juara AFC dan Kuala Lumpur (1-0) dalam saingan Liga Super.
Farizal menafikan percubaan
Michael Olaha – satu-satunya pemain import dalam skuad Song Lam – di awal
permainan tetapi gagal menyelamatkan rembatan Van Duc pada minit ke-22 untuk
gol pertama tuan rumah.
Farizal hampir tertewas sekali
lagi lapan minit sebelum rehat apabila Ho Tuan Tai cuba memerangkapnya dengan
bola lambung, tetapi percubaan pemain itu jauh tersasar.
Longhi memasukkan Aidil Zafuan
Radzak menggantikan Afiq Fazail dengan bek tengah, Hariss Harun mengemudi
barisan tengah bagi membolehkan Safiq Rahim naik ke atas.
Tandukan Safawi pada minit ke-55
mudah diselamatkan Le Van Hung, dan penjaga gol Song Lam itu turut
menyelamatkan percubaan jarak jauh Figueroa.
Selepas menafikan percubaan Le
The Cuong, Farizal sekali lagi tewas apabila Xuan Manh menyempurnakan serangan
balas Song Lam dalam waktu kecederaan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 28 Februari 2018 @ 7:39 PM