Khamis, 25 Februari 2021

JDT untung RM1.6 juta dalam tempoh 4 jam, 30 minit



PENYOKONG JDT sanggup beratur panjang untuk membeli jersi pasukan di Stadium Larkin hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

25 Februari 2021, 5:36 pm

JOHOR BAHRU: Sebanyak 8,600 jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) habis terjual hanya dalam tempoh empat jam, 30 minit selepas jualan dibuka pukul 11 pagi tadi.

Jualan jersi terbaharu JDT bagi musim 2021 secara dalam talian di JDT Store di laman web kelab dan Shopee merekodkan hasil jualan RM1.6 juta.

Menurut Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, stok jersi akan ditambah dalam beberapa minggu akan datang.

Dukacita dimaklumkan bahawa peruntukan untuk jualan atas talian kami di JDT Store di laman web kelab dan Shopee telah habis dijual. Kami juga berasa gembira dapat mencatatkan penjualan sebanyak RM1.6 juta.

Rakan kongsi kami Nike juga akan mula menjual jersi ‘home’ mulai esok tetapi memandangkan sambutan yang begitu luar biasa oleh penyokong JDT, kami menjangkakan jersi-jersi di sana juga akan habis dijual,” kata JDT dalam satu kenyataan hari ini.

Penjualan jersi ‘away’ edisi pemain berwarna putih yang ditanggung sebahagian harganya oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dijual secara eksklusif secara atas talian di JDT Store

Tinjauan Utusan Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini mendapati ramai penyokong tegar JDT sanggup beratur panjang di bawah cuaca terik bagi mendapatkan jersi terbaharu pasukan bagi musim ini.SUMBER-UM ONLINE

Rabu, 24 Februari 2021

Jersi JDT amat ‘menggoda’

JERSI 'home' JDT untuk musim 2021.

Oleh Media Mulia

24 Februari 2021, 3:35 pm

PETALING JAYA: Jersi baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya akan dilancarkan secara rasmi pukul 5.45 petang ini, namun ia sudah mencuri tumpuan ramai sebaik saja Facebook Johor Southern Tigers berkongsi rekaan terkini.

Rekaan yang dianggap ringkas, moden dan menarik itu berlegar dalam media sosial, malah buat kali pertama JDT akan memaparkan logo Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di bahagian depan, sekali gus meletakkan mereka sebaris Manchester United atau Barcelona.

Semalam, pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan bakal memberi ‘hadiah istimewa’ kepada penyokong JDT dengan ‘menanggung’ sebahagian daripada harga jersi baharu Harimau Selatan.

JERSI ‘away’ musim 2021.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, hadiah istimewa itu diberikan sempena ulang tahun pertama Stadium Sultan Ibrahim, selain tanda penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bagi penyokong.

Harga jersi home dan away musim 2021 serta jumlah ‘diskaun’ istimewa yang akan diberikan bakal diumumkan dalam majlis pelancaran nanti, begitu tahun lalu jersi yang dijual pada harga RM185 laris lebih 7,000 helai.SUKAN UM ONLINE

Selasa, 23 Februari 2021

TMJ ‘belanja’ penyokong JDT



Oleh Media Mulia

24 Februari 2021, 10:58 am

PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi hadiah istimewa kepada penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengumumkan akan ‘menanggung’ sebahagian daripada harga jersi baharu Harimau Selatan yang bakal dilancarkan hari ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik JDT berkata, hadiah istimewa itu diberikan sempena ulang tahun pertama Stadium Sultan Ibrahim, selain tanda penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bagi penyokong.

Katanya, harga jersi home dan away musim 2021 serta jumlah ‘diskaun’ istimewa yang akan diberikan bakal diumumkan dalam majlis pelancaran yang dilakukan pada pukul 5.45 petang ini.

Utusan Malaysia difahamkan, Tunku Ismail mungkin akan ‘menaja’ sebahagian daripada harga jersi away JDT yang dikeluarkan oleh jenama sukan antarabangsa Nike.

Kemungkinan, jersi kali ini juga ditawarkan pada harga sama seperti tahun lalu iaitu RM185 sehelai.

Musim lalu, JDT melakar sejarah apabila 7,000 jersi terjual, sekali gus membolehkan mereka menikmati RM1.29 juta hasil penjualan.

Berita Tunku Ismail mahu menanggung sebahagian harga jersi JDT disambut baik oleh penyokong yang rata-rata tidak sabar untuk menunggu hari pelancaran.

Alhamdullilah ..Terbaik TMJ Luaskan kuasamu Johor,” tulis pemilik akaun Asri Coo dalam Facebook Johor Southern Tigers.

Thank You Tunku. Keprihatinan dan kemurahan hati Tunku hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya.. kepada ponyokong JDT marilah bersama-sama support serta membeli jersi yang original demi pasukan kita,” kata Az Rizzam.

Kalau ikutkan harga jersi original Nike lebih kurang RM300 tapi jersi JDT kurang dari RM200,” tulis Sarifuddin Hasani.

JDT yang memegang reputasi selaku juara Liga Super tujuh musim berturut-turut akan merasmikan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan menentang Kedah dalam aksi Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Mac.SUMBER-UM ONLINE

Khamis, 18 Februari 2021

Syafiq kembali dengan lebih ‘kuat’



Oleh Media Mulia

16 Februari 2021, 4:53 pm

PETALING JAYA: Lebih dua bulan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan anak, ibu mentua dan pembantu rumahnya, bintang penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad kembali menjalani latihan semalam.

Gambar Syafiq, 25, sedang berlatih di Padang Sri Gelam, Johor Bahru yang dimuat naik Facebook, Johor Southern Tigers mendapat lebih 1,700 tanda suka (like) dan lebih 170 komen.

Rata-rata peminat menitipkan kata-kata semangat kepada pemain itu seperti ‘Our hero is back!!!’, ‘Welcome back SA28’, ‘come back stronger’ dan ‘King of header is back’.

Melihat perkembangan itu, ramai yang yakin bintang Harimau Malaya tersebut sudah bersedia untuk diturunkan apabila JDT menentang Kedah FC dalam perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M), 5 Mac ini.

Dalam kejadian 6 Disember lalu, bayi lelaki Syafiq yang baru berusia 22 hari antara tiga maut selepas kereta yang dipandu terbabas Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap.

Turut terkorban, ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an, manakala isteri Syafiq, Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah.

Syafiq dan anak perempuannya, Aaira Nur Saffiya, 2, mengalami kecederaan ringan.

SUMBER-SUKAN UM ONLINE

Rabu, 10 Februari 2021

Sumareh sah milik Harimau Selatan

SUKAN



SUMAREH (tengah) bersama Mora (kiri) dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards selepas menandatangani kontrak di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

Sumareh sah milik Harimau Selatan

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

10 Februari 2021, 11:50 am

SPEKULASI mengenai destinasi pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh akhirnya terjawab selepas pemain itu menandatangani kontrak secara rasmi bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.

Sumareh yang diperkenalkan menerusi rakaman video di laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers bakal menyarung jersi No. 13 apabila bersama skuad Harimau Selatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Tolong bawa saya ke kelab terbaik di Malaysia. Selamat datang ke gelanggang juara,” kata status yang dimuat naik oleh laman sosial JDT semalam.

Sumareh menerusi status Instagram miliknya mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi peluang mewakili skuad Harimau Selatan yang dianggap terbaik pada saingan Liga M.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana membuka peluang untuk saya mewakili pasukan JDT. Saya akan gunakan kesempatan ini untuk terus membantu pasukan menjulang lebih banyak trofi selepas ini,” katanya.

Sebagai rekod, kehadiran Sumareh ke JDT sememangnya dijangka apabila Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan hasrat secara terbuka untuk menandatanganinya pada penghujung tahun lalu.

Pemain kelahiran Gambia itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ‘berperang’ dengan bekas majikannya, Pahang sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) didenda AS$1.2 juta (RM4.9 juta) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

Ia susulan keputusan pemain berusia 27 tahun itu menamatkan kontrak bersama Pahang selepas mendakwa pihak pengurusan tidak membayar gaji mengikut kontrak yang ditetapkan pada Ogos lepas.

Kemudian, Sumareh mengambil keputusan untuk berkelana mewakili kelab Liga Thailand, Police Tero FC dengan kontrak jangka pendek selama tiga bulan yang berakhir pada Disember lepas.

Sumareh adalah pemain baharu ketiga yang diumumkan oleh JDT musim ini selepas bekas pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham dan penyerang import dari Argentina, Jonathan Herrera.SUMBER-KOSMO ONLINE