Rabu, 11 Mei 2016

Perubahan taktikal Johor DT

Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
 
GOMEZ (dua dari kanan) berjabat tangan dengan pembantu jurulatih Bengaluru, Matthew Holland menjelang aksi terakhir Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Mario Gomez akan menurunkan pasukan simpanan pada aksi menentang Bengaluru FC dalam saingan terakhir Kumpulan H, Piala Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Langkah tersebut dilihat sebagai strategi pengendali dari Argentina itu yang mahu merehatkan kesebelasan utama yang bakal berdepan cabaran final Superbest Power Piala FA menentang PKNS di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Gomez tetap mahukan anak-anak buahnya mengekalkan prestasi cemerlang dengan menyapu bersih tiga lagi mata berharga malam ini, sekali gus mara dengan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala AFC 2016 setakat ini.

“Pada perlawanan ini, saya akan me­lakukan sedikit perubahan terhadap percaturan pasukan dengan merehatkan beberapa pemain utama.

“Saya akan menurunkan pemain sama yang membantu Johor DT menewaskan Ayeyawady 2-1 di Yangon, Myanmar sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Tambahnya, biarpun mereka yang bakal diturunkan bukan pemain utama, namun kesemuanya mempunyai kualiti tersendiri dan beliau optimis dapat melihat aksi yang cemerlang ketika menentang kelab dari India itu.

“Biarpun kami sudah la­yak ke pusingan seterusnya sebagai pendahulu pasukan, saya tetap mahu Johor DT memburu kemenangan ke atas Bengaluru pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, terutamanya beraksi di laman sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Junior Eldstal meluah­kan keterujaan untuk kembali beraksi selepas diberi kepercayaan oleh Gomez setelah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Sekiranya pemain dapat beraksi mengikut percaturan ampuh yang disusun ketua jurulatih (Gomez), pastinya kita tidak berdepan masalah untuk me­ngutip tiga mata,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz48LiXZ8LL Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan