Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
JORGE Pereyra Diaz (kiri)
muncul wira Johor DT apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk pasukan
itu meraih mata penuh menewaskan Kelantan pada aksi Liga Super kelmarin.
“SATU gol sudah memadai.”
Demikian pesanan Mario Gomez pada kesebelasan utama Johor Darul Takzim
(Johor DT) dalam setiap perlawanan yang dihadapi pasukan itu.
Pengendali skuad Harimau
Selatan itu berkata, gol pertama merupakan keutamaan Harimau Selatan kemudian
mahu pasukan itu mempertahankan gol berkenaan hingga akhir perlawanan.
Katanya, sasaran Johor DT
adalah untuk menang dan bukan diukur pada jumlah gol yang dijaringkan pada
sesebuah perlawanan.
“Saya selalu berpesan kepada
pasukan, satu gol sudah memadai dan kita telah menang. Kemudian strategi kita
mempertahankan jaringan itu sehingga minit ke-90.
“Kalau dapat jaringkan lebih
daripada satu gol itu merupakan kelebihan tetapi satu gol sudah cukup buat
Johor DT, asalkan kita menang,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada
pemberita selepas tamat perlawanan Liga Super antara Johor DT dan Kelantan di
Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Johor DT
kekal mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri dengan menumbangkan
The Red Warriors 1-0 di hadapan lebih 16,000 penonton.
Mengulas mengenai perlawanan
itu, Gomez berkata, skuad Kelantan tidak memberikan tekanan kepada anak-anak
buahnya, sebaliknya Johor DT berpeluang menjaringkan lebih banyak gol.
“Pemain saya bermain dengan
baik pada separuh masa pertama dan menekan barisan pertahanan Kelantan dengan
beberapa gerakan menarik dan percubaan.
“Kalau dikira, kita ada minimum
enam gol yang hampir menembusi gawang Kelantan dan mereka tidak memberikan kita
tekanan,” jelasnya.
Johor DT yang mengungguli carta
Liga Super dengan 39 mata, diikuti rapat Felda United dengan 37 mata selepas
menumpaskan Selangor 1-2.
Felda United yang ketinggalan
dua mata dilihat berpeluang merampas kedudukan jaguh dua kali berturut-turut
Liga Super itu.
Menurut Gomez, skuad
kendaliannya tidak gentar dengan Felda United dan Johor DT masih mempunyai
peluang mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4FikPs5cB
Hakcipta terpelihara