Khamis, 28 Julai 2016

Johor DT hanya fokus raih kemenangan

 
Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA

JORGE Pereyra Diaz (kiri) muncul wira Johor DT apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk pasukan itu meraih mata penuh menewaskan Kelantan pada aksi Liga Super kelmarin.

“SATU gol sudah memadai.” Demikian pesanan Ma­rio Gomez pada kesebe­la­san utama Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam setiap perlawanan yang dihadapi pasukan itu.

Pengendali skuad Harimau Selatan itu berkata, gol pertama merupakan keutamaan Harimau Selatan kemudian mahu pasukan itu mempertahankan gol berkenaan hingga akhir perlawanan.

Katanya, sasaran Johor DT adalah untuk menang dan bukan diukur pada jumlah gol yang dijaringkan pada sesebuah perlawanan.

“Saya selalu berpesan kepada pa­sukan, satu gol sudah memadai dan kita telah menang. Kemudian strategi kita mempertahankan jaringan itu sehingga minit ke-90.

“Kalau dapat jaringkan lebih da­ri­pada satu gol itu merupakan kele­bihan tetapi satu gol sudah cukup buat Johor DT, asalkan kita menang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas tamat perlawanan Liga Super antara Johor DT dan Kelantan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Johor DT kekal mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri dengan me­numbangkan The Red Warriors 1-0 di hadapan lebih 16,000 penonton.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Gomez berkata, skuad Kelantan tidak memberikan tekanan kepada anak-anak buahnya, sebaliknya Johor DT berpeluang menjaringkan lebih banyak gol.

“Pemain saya bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan menekan barisan pertahanan Kelantan dengan beberapa gerakan menarik dan percubaan.

“Kalau dikira, kita ada minimum enam gol yang hampir menembusi gawang Kelantan dan mereka tidak memberikan kita tekanan,” jelasnya.

Johor DT yang mengungguli carta Liga Super dengan 39 mata, diikuti rapat Felda United dengan 37 mata selepas menumpaskan Selangor 1-2.

Felda United yang ketinggalan dua mata dilihat berpeluang merampas kedudukan jaguh dua kali berturut-turut Liga Super itu.

Menurut Gomez, skuad kendaliannya tidak gentar dengan Felda Uni­ted dan Johor DT masih mempunyai peluang mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4FikPs5cB Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan