Johor DT enggan kecewa lagi
Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
SAFIQ akan mengetuai jentera
tengah Johor DT pada aksi menentang Perak di Larkin malam ini.
ENGGAN pisang berbuah dua kali,
pengendali pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), Mario Gomez mahu anak-anak
buahnya memberi tumpuan sepenuhnya fokus pada aksi peringkat Kumpulan C kempen
Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan yunos, Larkin
malam ini.
Gomez berkata, beliau berharap
skuad kendaliannya tidak memandang rendah kemampuan skuad The Boss Gaurus itu
apatah lagi berasa terlalu yakin hanya kerana pasukan Harimau Selatan itu
beraksi di laman sendiri.
“Saya berharap para pemain
tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan, sebaliknya perlu komited
sepanjang perlawanan dalam misi meraih tiga mata penuh. Kita perlu mengelakkan
sebarang kesilapan mudah yang boleh membuka peluang kepada Perak untuk
meloloskan diri.
“Mungkin kita mempunyai
kelebihan di laman sendiri, namun saya tegaskan, para pemain tidak boleh
mengambil mudah kerana Perak akan merangka rancangan yang hebat untuk
menumpaskan kita,” kata Gomez ketika dihubungi di Johor Bahru semalam.
Pada 30 Julai lalu, Perak
menewaskan Johor DT 3-0 pada aksi pertama peringkat Kumpulan C di Ipoh.
Bagaimanapun, dalam perlawanan
Liga Super di Ipoh pada Sabtu lalu, Johor DT kembali bangkit menumpaskan Perak
1-0 yang telah mengakibatkan tercetusnya perbalahan antara penyokong kedua-dua
pasukan.
Johor DT yang kembali beraksi
di laman sendiri malam ini perlu memastikan rekod tanpa kalah pasukan berkenaan
dipertahankan.
Mengulas lanjut mengenai
persediaan berhadapan dengan Perak, Gomez memberitahu, anak-anak buahnya berada
dalam keadaan yang sentiasa bersedia.
“Watak utama seperti, Safiq
(Rahim) dan Haris (Harun) mungkin akan diturunkan untuk membantu gandingan
Lucero dan Diaz di bahagian serangan. Tetapi, itu semua bergantung kepada tahap
prestasi pemain sebelum bermulanya perlawanan malam esok (malam ini),”
jelasnya.
Dalam pada itu, Gomez
mengingatkan para penyokong skuad Johor DT supaya bersikap lebih profesional
dan tidak membalas dendam terhadap penyokong Perak atas kejadian yang berlaku
di Stadium Ipoh pada Sabtu lalu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4GvO6HY47
Hakcipta terpelihara