SAFEE
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim
(Johor DT) berazam melakar kebangkitan bagi memburu kemenangan pertama apabila
berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di
Stadium Larkin, malam ini.
Walaupun mengutip tiga mata
hasil daripada tiga keputusan seri dan sekali tewas ia bukan bererti skuad
bergelar Harimau Selatan itu sudah patah semangat sebaliknya pemburuan untuk
memperbaiki kedudukan dalam kumpulan itu akan tetap diteruskan.
Malah, ketua jurulatih Harimau
Selatan Mario Gomez masih menganggap peluang skuad bimbingannya melangkah ke
suku akhir tetap ada dengan syarat perlu menang baki dua perlawanan bermula
dengan berdepan skuad kendalian Fauzi Pilus, malam ini sebelum menentang PKNS
FC, 20 Ogos nanti.
Apapun, beliau lebih gemar
untuk mengharungi satu persatu perlawanan dan tidak mahu terlalu memikirkan dua
perlawanan sekaligus apatah lagi perlu berdepan PDRM sekali lagi pada saingan
Liga Super di venue sama, Selasa ini.
“Walaupun kita belum menang
dalam saingan piala berprestij itu tetapi saya optimis barisan pemain yang
bakal diturunkan akan mempamerkan corak permainan konsisten untuk mencatat
kejayaan.
“Semua jurulatih termasuk saya
sendiri tidak mahu tewas dan keinginan untuk menang tetap membara buat diri
saya namun pemain juga perlu memainkan peranan untuk melaksanakan taktikal yang
dirancang selain sentiasa fokus pada perlawanan.
“Kita akan menentang PDRM dua
kali dengan aksi malam ini dan kemudiannya pada Selasa. Kedua-duanya sama
penting namun biar kita tempuh satu perlawanan dulu dan mungkin ada rombakan
pemain untuk aksi pertama,” katanya.
Gomez berkata, beberapa pemain
yang tidak diturunkan ketika aksi menentang Perak, Rabu lalu akan beraksi namun
perubahan pemain tidak begitu ketara bagi memastikan rentak permainan tidak
terjejas.
Katanya, Aidil Zafuan Abd
Radzak akan kembali menguatkan benteng pertahanan untuk aksi malam ini namun
dia tidak dapat beraksi menentang PDRM pada saingan liga akibat digantung satu
perlawanan dan kemungkinan besar tempatnya diganti Hasbullah Abu Bakar dan
Shakir Shaari akan diturunkan.
“Di posisi serangan, mungkin
saya meletakkan Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah namun pasukan lawan juga
memiliki barisan pemain yang hebat terutama pemain baharu, Guilherme de Paula
yang tampak begitu berbisa dan perlu diawasi,” kata Gomez.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:02 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan