Ahad, 24 September 2017

Hasmawi bantu Kedah menang



ARKIB : 10/05/2007

Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Kedah mengukuhkan cengkaman di persada teratas apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor FC dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.

Di hadapan kira-kira 10,000 penyokong pemain gantian Hasmawi Hassan menanduk masuk gol kemenangan selepas mendapat hantaran Nelson Sam Martin pada minit ke-70.

Kemenangan membawa tiga mata penuh itu melebarkan kedudukan Kedah makin kukuh dengan memungut 39 mata.

Meskipun bermain dalam keadaan padang becak selepas hujan lebat turun tetapi kedua-dua pasukan memperagakan permainan menarik dengan corak pantas dan saling serang menyerang antara satu sama lain.

Keazaman Kedah untuk mencatat kemenangan ke-12 mereka daripada 18 perlawanan terserlah apabila mengasak ke kubu Johor FC seawal minit pertama.

Namun tandukan Marlon Alex James tersasar ke sebelah kiri gawang pasukan pelawat.

Biarpun Kedah beraksi tanpa khidmat Ahmad Fauzi Shaari dan V. Thirumurugan yang bersama skuad kebangsaan ke Australia ia tidak menjejaskan rentak tuan rumah.

Serangan bertali arus menyaksikan sekurang-kurangnya lima peluang terbaik dalam tempoh 15 minit permainan gagal dimanfaatkan jentera serangan Sang Kenari.

Johor FC bagaimanapun turut dilihat dapat menyaingi corak permainan Hijau Kuning dengan beberapa serangan balas pantas berbahaya tetapi masih gagal memecah kebuntuan gol sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Percaturan jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah dengan memasukkan Hasmawi Hassan mengantikan K.Soley pada separuh masa kedua membuahkan hasil.

Penyerang veteran itu tangkas menanduk masuk ke dalam gawang Johor FC hasil hantaran Nelson Sam Martin pada minit ke-70.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah kini mengumpul 39 mata selepas mengharungi 18 perlawanan, lima mata di hadapan pencabar terdekat Perak yang bermain kurang satu perlawanan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4taF5XKwh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan