PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (tengah) diasak dua pemain Perak iaitu Shahrul
Saad (kiri) dan Zac Anderson (kanan), dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
02 Februari 2019 11:21 PM
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan Piala Haji Sultan
Ahmad Shah terus kekal di bumi Johor apabila skuad Harimau Selatan itu
menewaskan Perak 1-0 dalam aksi Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, hari ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera pada minit ke-41
dan kemenangan tersebut memberikan tiga mata berharga buat JDT dalam saingan
Liga Super.
Dalam pada itu, Melaka United bermula dengan langkah kanan apabila berjaya
menewaskan PJ City FC 2-1 di Stadium Hang Jebat. Dua gol Melaka United
masing-masing dijaringkan oleh Liridon Krasniqi pada minit ke-46 sebelum
Casagrande menggandakan jaringan seminit sebelum rehat.
Gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh R. Barathkumar pada minit
ke-58.
Kedah pula berjaya membawa pulang tiga mata berharga apabila menundukkan
PKNP FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dalam satu lagi aksi Liga
Super.
Skuad Lang Merah itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-66
sebelum berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Shakir Hamzah sebelum
Jonatan Bauman meledak gol kedua ketika permainan berbaki empat minit.
Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana pula menyaksikan Sabah terpaksa
akur dengan kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium
Likas, Kota Kinabalu meskipun mereka terlebih dahulu berada di depan. Skuad
kendalian Jelius Ating berada di depan seawal minit ke-13 menerusi jaringan
Luka Milunovic.
Bagaimanapun, JDT II berjaya bangkit menerusi jaringan Mohamad Ghaddar pada
minit ke-64 sebelum Rozami Abd. Rahman meledak gol kemenangan ketika permainan
berbaki tujuh minit.
Negeri Sembilan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi. Dua gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Ferris Danial Mat Nasir pada
minit ke-10 dan Almir pada minit ke-52 manakala gol pasukan pelawat dijaringkan
oleh Pedro Henrique selang tiga minit kemudian.
Terengganu II pula memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas
menundukkan Pulau Pinang 3-2 di Stadium Bandaraya, George Town. Tiga gol
Terengganu II dijaringkan oleh Ramzi Sufian pada minit ke-23, Bruno Suzuki
minit ke-46 dan Serhii Andrieiev minit ke-79. Dua gol tuan rumah dihasilkan
oleh Sebastian Thuriere pada minit ke-35 dan Julain Bottaro minit ke-70. -
UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-kutip-tiga-mata-pertama-1.834585#ixzz5eQusqcZz
© Utusan Melayu (M) Bhd