Isnin, 17 Februari 2020

Davies pelaburan terbaik - TMJ


 SUKAN»Bola
Isnin, 17 Februari 2020 | 3:25pm
 
PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergambar dengan Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies secara rasmi menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia selepas sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT di Iskandar Puteri. NSTP/Rizar Mohd Noor
Davies pelaburan terbaik - TMJ
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyertaan Matthew Davies dalam skuad Harimau Selatan sebagai satu pelaburan terbaik.

Ini kerana, katanya, bekas kapten Pahang itu masih muda selain diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.

"Kami berbesar hati apabila mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan terutama di benteng," kata Tunku Ismail

Ditanya berhubung nilai perpindahan pemain berusia 25 tahun itu ke JDT, Tunku Ismail enggan mendedahkan dan hanya memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

"Ia antara dua pemilik kelab dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang," kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata, kehadiran Davies tidak menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.

Katanya, S Kunanlan juga tetap bersama JDT memandangkan pemain itu memberi sumbangan terbaik namun umurnya semakin meningkatkan menyebabkan JDT perlu melakukan pelaburan awal.

Malah Tunku Ismail mendedahkan betapa kelibat Davies sudah diperhati sejak tiga tahun lalu ketika pemain itu bersama Pahang dan menganggap sudah menimba pengalaman terbaik bersama skuad kendalian Dollah Salleh.

Tambah Tunku Ismail, Davies tampak menunjukkan kematangan selepas beraksi bersama Pahang dan turut mempamerkan aksi terbaik ketika menyertai skuad Harimau Malaya namun pemain itu tidak dapat beraksi untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini .

Mengenai perancangan musim depan, Tunku Ismail juga mendedahkan akan membawa masuk dua atau tiga pemain baharu bagi membawa cabaran skuad Harimau Selatan.

"Itu perancangan kami musim depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan," katanya.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/656422/davies-pelaburan-terbaik-tmj

Sabtu, 15 Februari 2020

Matt Davies ke JDT ?

Sabtu | 15 Februari 2020
MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
APAKAH pemain bek kanan Pahang, Matthew Davies bakal menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Super yang bakal menyingkap tirai 28 Februari ini.

Perkhabaran pemain kebangsaan itu berhijrah ke Harimau Selatan kini hangat diperdebatkan di laman media sosial walaupun di laman rasmi Johor Southern Tigers dan Persatuan Bola sepak Pahang (PBNP) sepi seribu bahasa.

Namun jemputan daripada pihak pengurusan JDT kepada media bagi majlis memperkenalkan pemain baharu juara Liga Super enam musim berturut-turut di Ibu pejabat Kelab Bola sepak JDT di Iskandar Puteri pada Isnin ini bagaikan merungkai spekulasi pemain mana yang akan bersama pasukan itu.

Jika Davies yang akan menyertai skuad Harimau Selatan ia pastinya menarik tatkala JDT turut membantu skuad Tok Gajah apabila meminjamkan Fazly Mazlan dan S Kumaaharan menyertai skuad bimbingan Dollah dan kemungkinan juga ia sebahagian perjanjian antara JDT dan Pahang.

Dikhabarkan keinginan JDT untuk mendapatkan pemain bek kanan tampak begitu memuncak selepas persembahan tidak konsisten S Kunanlan pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada pertembungan menentang Vissel Kobe yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tewas 1-5.

Malah ia diperkukuhkan lagi dengan kecederaan yang dialami Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang mungkin memakan masa panjang untuk pulih dan posisi bek kanan ketika ini hanya diisi oleh Kunanlan dan Adam Nor Azlin.

Adam yang beraksi di posisi di bek tengah terpaksa memikul tugas di posisi bek kanan jika diperlukan.

Spekulasi bertambah kukuh tatkala kelibat Davies kemungkinan akan menyertai skuad Harimau Selatan apabila dia tidak kelihatan pada sesi latihan malah tidak diturunkan dalam aksi persahabatan terbaharu skuad Tok Gajah.

Apapun, segala jawapan sama ada Davies atau pemain lain yang akan diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan hanya akan ditentukan Isnin ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:35 PM

Khamis, 13 Februari 2020

'Kelas yang berbeza'

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KEKALAHAN 1-5 di tangan Vissel Kobe sememangnya sangat pahit untuk ditelan barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail, wujud jurang ketara antara JDT dan kelab Jepun itu yang nyata berada pada kelas tersendiri untuk merakam kemenangan pertama pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun kelmarin.

Jelasnya, ia adalah pengalaman berguna buat skuad Harimau Selatan supaya bangkit mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam baki aksi Kumpulan G itu yang turut dihuni Suwon Bluewings (Korea Selatan) dan Guangzhou Evergrande (China).

“Kelas yang berbeza. Kita perlu bersikap realistik dan terima hakikat yang mereka mempunyai lebih kualiti daripada kami. Ini adalah pengalaman baik buat kelab JDT. Ini pengajaran berguna buat mematangkan pasukan, tetapi apapun kami akan berjuang hingga aksi terakhir.

“Ini adalah ACL terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Malaysia yang memberi sokongan,” katanya menerusi laman Instagram miliknya semalam.

Dalam aksi itu, ketua pasukan Vissel Kobe, Andres Iniesta menjadi duri dalam daging apabila menampilkan persembahan cemerlang di mana dia menyumbang tiga bantuan gol kepada Keijiro Ogawa yang meledak hatrik.

Dua lagi gol dijaringkan oleh Kyogo Furuhashi dan Douglas, manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Sementara itu, pengurus pasukan Luciano Figueroa berkata, pemainnya beraksi baik pada 15 minit pertama sebelum hilang fokus apabila lebih banyak memerhatikan Iniesta dan mungkin ‘terpesona’ dengan aksi bekas bintang Barcelona dan Sepanyol itu.

“Pemain kebangsaan Jepun serta Iniesta adalah berkelas tinggi. Saya juga merasakan pemain kami bagaikan terpesona dengan kelibat Iniesta. Mereka (pemain JDT) tidak bermain cara biasa dan lebih banyak memerhati dia (Iniesta), dan sikap memerhati bola ini menghukum kami.

“Bagaimanapun, ia adalah satu proses pembelajaran yang baik untuk kami berkembang dan memahami apa yang diperlukan untuk bermain di peringkat tinggi ini. Saya harap kami akan lebih baik dan untuk mencapainya kami perlu bekerja lebih keras.

“Saya teruja bekerja bersama Mora dan pemain untuk memperbaiki kelemahan dan melakukan yang terbaik untuk setiap perlawanan musim ini,” kata Figueroa.

Dengan kemenangan itu, Vissel Kobe kini mendahului Kumpulan G selepas dua lagi pasukan tidak beraksi kerana perlawanan ditangguhkan akibat penularan wabak coronavirus baharu.

Selepas ini, JDT akan bertemu kelab dari Korea Selatan, Suwong Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Mac depan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:59 AM
Berita Berkaitan


Rabu, 12 Februari 2020

JDT mula langkah kiri

SUKAN»Bola
Rabu, 12 Februari 2020 | 8:07pm
 
KAPTEN pasukan Vissel Kobe, Andrea Iniesta (kiri) melepasi asakan pemain JDT, Corbin Ong di Stadium Park Misaki. Foto FB Johor Southern Tigers
JDT mula langkah kiri
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini dengan langkah kiri selepas tewas 1-5 kepada Vissel Kobe di Stadium Park Misaki, sebentar tadi.

Vissel Kobe yang dibarisi beberapa pemain berkelas dunia seperti Andres Iniesta dan Thomas Vermaelen mendominasi permainan dan berjaya membuka jaringan menerusi Keijiro Ogawa pada minit ke-13.

JDT bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan Vermaelen.[1]


PEMAIN JDT, Safawi Rasid (Kanan) diasak pertahanan Vissel Kobe, Thomas Vermaelen. Foto FB Johor Southern Tigers
Namun, kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila rembatan deras Kyogo Furuhashi dari luar kotak penalti berjaya memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias buat kali kedua.

Tidak cukup dengan itu, skuad kendalian Thorsten Fink terus menghukum pertahanan JDT apabila meledak dua lagi gol hasil jaringan Ogawa pada minit ke-58 dan Douglas (m-65).

Iniesta dilihat menjadi penggerak utama Vissel Kobe apabila umpanannya pada minit ke-72 membolehkan Ogawa melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan pertama Kumpulan G itu.

Aksi seterusnya JDT akan berdepan kelab Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings di Johor Bahru, 3 Mac depan.



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/655078/jdt-mula-langkah-kiri

Mimpi ngeri Harimau Selatan

MyMetroArena
                
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KELAB Jepun, Vissel Kobe nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membenam cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-1 dalam aksi pertama Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam ini.

Vissel Kobe yang masih segar dengan kejayaan memenangi Piala Super Fuji Xerox dengan menewaskan Yokohama FM Sabtu lalu menguasai hampir 60 peratus permainan di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun itu.

Skuad Harimau Selatan yang tampil buat musim kedua berturut-turut di pentas ACL sebaliknya kerap melakukan kesilapan mudah termasuk adegan 'jatuh sendiri' sama ada ketika melancarkan serangan mahupun bertahan.

Malah, gol kedua tuan rumah hasil kesilapan S Kunalan yang terjatuh di depan kotak penalti sebelum mudah dihukum jentera depan lawan.

Seperti dijangka, bekas tonggak Barcelona dan pemenang Piala Dunia 2010 bersama pasukan Sepanyol, Andres Iniesta menjadi duri dalam daging buat JDT apabila hantaran cantiknya pada minit ke-13 berjaya disudahkan Keijiro Ogawa yang bijak melambungkan bola buat menewaskan Farizal Marlias.

JDT yang dinobatkan Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad oleh Konfederasi Bolasepak Asia pada Ahad lalu, tidak mudah berputus asa apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-27.

Jaringan itu disumbangkan penyerang muda Harimau Malaya, Safawi Rasid menerusi sepakan penalti selepas bola hantaran Diogo terkena tangan tonggak pertahanan, Thomas Vermaelen.

Namun, keceriaan penyokong pelawat tidak kekal lama apabila seminit kemudian Kyogo Furuhashi mudah menyumbat gol kedua hasil 'bantuan' Kunalan yang terjatuh di depannya sekaligus membuka ruang untuk melakukan rembatan.

Bersambung babak kedua, tidak banyak yang mampu dilakukan anak buah Benjamin Mora apabila terus ketinggalan sekali lagi menerusi ledakan Ogawa di minit 58 sebelum penyerang import dari Brazil, Douglas Matos melebarkan kedudukan 4-1 minit 64.

Ogawa dilihat begitu serasi bersama Iniesta dan dia sekali lagi bijak membaca hantaran ketua pasukan itu buat meledak gol kelima pada minit ke-72 yang juga hatriknya dalam perlawanan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 8:07 PM

Isnin, 10 Februari 2020

Persiapan taktikal JDT lebih rapi - Safawi

SUKAN»Bola
Isnin, 10 Februari 2020 | 1:19pm
 
PEMAIN JDT, Safawi Rasid. Foto FB JOHOR Southern Tigers.
Persiapan taktikal JDT lebih rapi - Safawi
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak bersedia memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan aksi pertama menentang kelab ternama dari, Jepun Vissel Kobe pada saingan Kumpulan G di Stadium Misaki, petang esok.

Malah pemain sedang meningkat naik dalam kancah bola sepak negara, Safawi Rasid mengakui persiapan pada saingan musim ini tampak lebih tersusun dengan tumpuan terarah kepada membentuk corak permainan taktikal berdepan skuad bimbingan Thorsten Fink.

"Ini adalah kali kedua saya dan rakan sepasukan yang lain beraksi di pentas ACL yang begitu kompetitif. Malah persiapan pada saingan musim ini lebih kepada taktikal dan perancangan juga tampak begitu ampuh untuk berdepan kelab-kelab ternama di Asia yang beraksi dalam Kumpulan G.

"Tiba masanya kami akan lakukan yang terbaik pada saingan kumpulan tatkala pada musim lalu persembahan dipamerkan memuaskan namun pada musim ini ini pergi lebih jauh dan berazam beri yang lebih baik.

"Tidak dinafikan Vissel Kobe dibarisi pemain pernah mewarnai Liga Perdana Inggersi (EPL) dan La Liga Sepanyol dan ia pasti beri pengalaman terbaik buat saya dan rakan sepasukan untuk cuba menyaingi kehebatan kelab dari Jepun itu," katanya.

Safawi berkata, walaupun bakal berdepan kesukaran untuk beraksi dalam cuaca sejuk namun semua itu bukan penghalang.

Sebaliknya semangat juang tinggi dan pengalaman siri jelajah pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila menentang pasukan kebangsaan Turkmenistan, kelab dari Latvia dan Slovakia akan dijadikan bekalan penting mengharungi aksi pertama Kumpulan G.

Skuad Harimau Selatan berlepas ke Kobe, Jepun pagi ini, pasti akan menurunkan kesebelasan terbaik namun tiada kelibat pemain naturalisasi baharu skuad itu, Liridon Krasniqi yang kemungkinan tidak beraksi kerana tidak sempat didaftarkan.

Bagaimanapun pengalaman beraksi pada kancah saingan kelab-kelab elit Asia dan terpilih selaku Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad pasti menambah lagi keyakinana skuad kendalian Benjamin Mora melakar kejutan ke atas Vissel Kobe.[1]



[1] https://www.sinarharian.com.my/article/69521/BERITA/Sukan/Keringat-Indra-cukup-berharga

Isnin, 3 Februari 2020

JDT calon kelab terbaik Piala AFC

MyMetroArena
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus gah di persada bola sepak Asia apabila dicalonkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk anugerah Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad bersama empat lagi bekas juara.

Hal ini bermakna, JDT dicalonkan bersama kelab terhebat lain di rantau Asia iaitu Kuwait SC (Kuwait), Qadsia SC, Al Ahed dari Lebanon dan Air Force Club dari Iraq.

Harimau Selatan, pasukan yang menjuarai edisi 2015 sekaligus menyaksikan penampilan pertama yang cukup mengagumkan dalam pertandingan, adalah satu-satunya pasukan dari Asia Timur yang dicalonkan untuk anugerah itu.

Empat pasukan lain yang turut dicalonkan adalah kelab-kelab dari Kuwait iaitu Kuwait SC, Qadsia SC, Al Ahed dari Lebanon dan Air Force Club dari Iraq.

Pencalonan kelab yang berpengkalan di selatan tanah air itu membuktikan pasukan bola sepak negara melangkah setapak lagi dengan sudah mencapai taraf membanggakan.

Mengikut rekod, JDT sudah merekodkan enam kali juara Liga Super dengan terbaharu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang tempoh saingan liga 2019.

Selain itu, JDT adalah pasukan pertama dari Malaysia yang layak bertanding peringkat kumpulan ACL musim lalu dan skuad kendalian Benjamin Mora itu sekadar menamatkan kedudukan di tangga tercorot Kumpulan E dengan empat mata.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:25 PM


JDT dicalon Kelab Terbaik AFC

SUKAN»Bola
Isnin, 3 Februari 2020 | 11:33pm
Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melonjak selepas kelab itu dicalonkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk anugerah Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad. - Foto FB JOHOR Southern Tigers
JDT dicalon Kelab Terbaik AFC
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Nama juara Liga Super enam kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melonjak selepas kelab itu dicalonkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk anugerah Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad.

Skuad Harimau Selatan dicalonkan bersama empat pasukan lain termasuk dua kelab Kuwait, Kuwait SC, Qadsia SC, Al Ahed dari Lubnan dan Air Force Club (Iraq).

JDT yang membuat penampilan pertama yang cukup mengagumkan dalam saingan Piala AFC edisi 2015 apabila menjulang trofi itu, adalah satu-satunya pasukan dari Asia Timur yang dicalonkan.

Malah, JDT menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang berjaya melangkah ke separuh akhir dan kelab Asia Tenggara yang pertama muncul pada perlawanan akhir, sekali gus berjaya memenangi trofi berprestij itu.

Peminat berpeluang menentukan pemenang anugerah itu dengan membuat undian di laman web rasmi AFC. Proses undian boleh dibuat hingga Ahad ini.

JDT kini dianggap kelab paling berjaya di negara ini menerusi pengurusan yang profesional dan kejayaan yang diraih selain menjadi wakil tunggal Malaysia di Liga Juara-Juara Asia (ACL).[1]




[i1 https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/652374/jdt-dicalon-kelab-terbaik-afc