Isnin, 17 Februari 2020 | 3:25pm
PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor
Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergambar
dengan Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies secara rasmi menyertai
Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia selepas sidang
media di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT di Iskandar Puteri. NSTP/Rizar Mohd
Noor
Davies pelaburan terbaik - TMJ
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul
Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyertaan Matthew Davies
dalam skuad Harimau Selatan sebagai satu pelaburan terbaik.
Ini kerana, katanya, bekas kapten
Pahang itu masih muda selain diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora
mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.
"Kami berbesar hati apabila
mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang
diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan
terutama di benteng," kata Tunku Ismail
Ditanya berhubung nilai
perpindahan pemain berusia 25 tahun itu ke JDT, Tunku Ismail enggan mendedahkan
dan hanya memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku
Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
"Ia antara dua pemilik kelab
dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang," kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail berkata, kehadiran
Davies tidak menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana
Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.
Katanya, S Kunanlan juga tetap
bersama JDT memandangkan pemain itu memberi sumbangan terbaik namun umurnya
semakin meningkatkan menyebabkan JDT perlu melakukan pelaburan awal.
Malah Tunku Ismail mendedahkan
betapa kelibat Davies sudah diperhati sejak tiga tahun lalu ketika pemain itu
bersama Pahang dan menganggap sudah menimba pengalaman terbaik bersama skuad
kendalian Dollah Salleh.
Tambah Tunku Ismail, Davies
tampak menunjukkan kematangan selepas beraksi bersama Pahang dan turut
mempamerkan aksi terbaik ketika menyertai skuad Harimau Malaya namun pemain itu
tidak dapat beraksi untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini .
Mengenai perancangan musim depan,
Tunku Ismail juga mendedahkan akan membawa masuk dua atau tiga pemain baharu
bagi membawa cabaran skuad Harimau Selatan.
"Itu perancangan kami musim
depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan
nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan," katanya.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan