Khamis, 20 Mei 2021

JDT akan terus berkuasa



JDT pasukan paling konsisten dalam kempen Liga Super musim ini.

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

16 Mei 2021, 12:00 pm

PETALING JAYA: Berdasarkan statistik selepas tamat 13 perlawanan Liga Super, 75 peratus kejuaraan musim ini akan dimenangi Johor Darul Ta’zim (JDT), kata bekas pemain kebangsaan yang juga pengulas bola sepak, Azlan Johar.

Berakhirnya pusingan pertama Liga Super menyaksikan juara tujuh kali berturut-turut itu mengungguli liga dengan 30 mata, tiga mata mengatasi Terengganu.

Bukan mahu menidakkan kemampuan pasukan lain, namun Azlan berkata, peluang Terengganu atau Kedah merampas kejuaraan tipis iaitu hanya 25 peratus.

Memang betul (JDT akan te­rus jadi juara), biarpun tewas kepada Terengganu tapi mereka tidak panik kerana pemain sudah matang (dibarisi pemain terbaik tempatan) dan persembahan mereka lebih konsisten.

Mereka faham corak permainan diterapkan Benjamin Mora, dia sudah lama bersama JDT dan kalau kita banding dengan pasukan lain, jurulatih bertukar-tukar. Berdasarkan persembahan mereka, saya yakin JDT boleh kekal sebagai juara liga.

Lihat kepada statistik, setiap kali perlawanan, penguasaan bola menjadi milik JDT, jadi kenapa mereka perlu panik dan mengapa kita perlu katakan peluang mereka untuk menjuarai liga sukar?

Saya bercakap berdasarkan statistik dan statistik tidak pernah menipu,” kata Azlan.

AZLAN JOHAR

Menurut Azlan, beliau tidak melihat jadual padat yang terpaksa dilalui JDT kerana bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) boleh menjejaskan persembahan dan peluang mereka menjuarai Liga Super.

Kalau cerita mengenai jadual padat, ini bukan kali pertama mereka harungi jadual padat. Mungkin sudah enam musim mereka turut beraksi dalam ­Piala AFC.

Pemain yang ada sekarang kebanyakan pemain yang dikekalkan, ditambah dengan beberapa lagi. Jadi mereka tahu apa yang patut buat,” ujarnya.

Skuad Harimau Selatan ha­nya kalah sekali musim ini dan mengharungi tujuh perlawanan di tempat lawan tanpa tewas.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan dan pengulas bola sepak, Shebby Singh percaya, 11 pasukan lain yang berada dalam Liga Super hanya bersaing untuk mencabar kedudukan naib juara kerana kejuaraan hampir pasti milik JDT.

JDT akan kekal juara kerana pasukan lain tidak konsisten. Walaupun ada masa JDT main tidak berapa bagus macam sebelum ini kalah dengan Terengganu, namun selepas itu Terengganu pula kalah kepada Penang.

Perkataan tidak konsisten ini berlaku juga kepada JDT. Secara keseluruhan Liga Malaysia musim ini tidak konsisten dari segi persembahan pasukan menyebabkan nampak ada persai­ngan,” ujarnya.1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan