Selasa, 29 November 2016

Giliran Johor FC kuasai Perdana Dua

ARKIB : 03/04/1999
Giliran Johor FC kuasai Perdana Dua
JOHOR FC merampas tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua selepas menewaskan TNB Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Kejayaan skuad bimbingan Ronald Smith itu dibantu dengan kegagalan pendahulu liga sebelum ini, Selangor yang hanya mengutip satu mata selepas tewas kepada Perlis di Stadium Utama, Kangar menerusi penalti 4-3 selepas kedudukan 90 minit berakhir seri 3-3.

Gol-gol Johor FC dijaringkan oleh S. Ahmad Riduan pada minit ke-30 dan Azmi Ariffin minit ke-53 manakala gol TNB Kelantan dihasilkan oleh Ruzlan Ismail minit ke-27.

Selangor mendahului 3-2 menerusi dua jaringan S. Paidiya Rau (minit ke-12 dan 66) dan S. Sivaram pada minit ke-65 tetapi Mohd. Fuad Mohd. Nor menyamakan kedudukan 3-3 pada masa kecederaan. Dua lagi gol Perlis disumbat masuk oleh Khairi Zamri Rashid pada minit ke-36 dan 60.

Di Stadium Kubu, Melaka bangkit daripada kekalahan teruk di tangan Selangor minggu lalu apabila menumpaskan NS Chempaka 4-2.

Pasukan tuan rumah mengejutkan pasukan pelawat seawal minit ke-9 menerusi Sri Jaafar A. Rahman sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Yushafizan Johar tiga minit kemudian.

Melaka kembali di depan seminit selepas babak kedua bermula hasil tandukan Abdul Karim Rahman tetapi NS Chempaka sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Khaidir yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain Melaka, K. Rajan melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Sri Jaafar sekali lagi menjaringkan gol untuk Melaka pada minit ke-65 sebelum selang dua minit kemudian, Abdul Karim mengesahkan tiga mata penuh milik skuad Kancil dengan jaringannya untuk menjadikan kedudukan muktamad 4-2.

Kelantan turut melebarkan rekod tanpa kalah apabila mengalahkan Tentera 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol Kelantan dijaringkan oleh Tan Cheng Hoe pada minit kelima dan Zainuddin Ariffin minit ke-25 manakala gol tunggal Tentera dihasilkan oleh V. Sivam pada minit ke-87.

Sementara itu, perlawanan antara Johor FC menentang Telekom Melaka di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin terpaksa ditunda ke hari ini berikutan bekalan elektrik terputus.

Menurut jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB), bekalan elektrik di stadium itu terputus sejak pukul 7.20 malam disebabkan oleh masalah teknikal dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan.

Perlawanan akan diadakan pada pukul 8.30 pagi ini dan orang ramai yang telah membeli tiket boleh menggunakan tiket yang sama untuk menonton perlawanan itu di Stadium Larkin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RPWxCPp5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan