Khamis, 17 November 2016

Pemain Johor DT bagai ‘pisang goreng panas’

 
 TUNKU ISMAIL 
PARA pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) bagai ‘pisang goreng panas’ ekoran kira-kira 15 hingga 20 pemain juara tiga kali Liga Super itu menerima tawaran gaji bulanan yang lumayan mencecah RM150,000 daripada pasukan lain untuk aksi Liga Malaysia musim depan.

Pemilik kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya menjangkakan ramai pemain Johor DT bakal meninggalkan kelab itu disebabkan tawaran tersebut.

Titah baginda, Johor DT tidak menghalang mana-mana pemain sekiranya mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada kelab lain termasuk Pahang, Melaka United dan Felda United yang mengeluarkan peruntukan banyak.

“Pemain pertama yang hendak berhijrah adalah Nazrin Nawi, Melaka (United) tawarkan sehingga RM80,000. Sela­ngor nak bayar Amri (Yahyah) RM150,000, Safee (Sali) terima tawaran daripada Pulau Pinang RM75,000.

“Aidil (Mohd. Ai­­dil Zafuan Abd. Radzak) pula ditawarkan RM56,000 terma­suk adiknya,” titah ba­ginda yang dimuat naik dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers semalam.

Tunku Ismail bertitah, Aidil dan Mohd. Zaquan Adha juga cuba ‘dipancing’ pasukan Pahang yang menawarkan jumlah RM56,000 secara ber­asingan sekiranya bersetuju untuk menyertai skuad Tok Gajah.

Mengenai pemain import Johor DT, Tunku Ismail bertitah, Juan Martin Lucero dan gandingannya Jorge Pereyra Diaz turut tidak terikat dengan kelab itu dan mereka boleh mempertimbangkan sekiranya mendapat tawaran yang lebih baik daripada pihak lain.

“Mereka (Lucero dan Diaz) boleh berpindah ke kelab lain sekiranya mendapat tawaran yang lebih baik.

“Biarpun mereka merupakan antara pemain yang paling banyak menyumbang jasa kepada kelab ini, bagaimanapun keputusan di tangan mereka.

“Kelab tidak akan membe­lanjakan lebih daripada kemam­puan berikutan tidak mahu me­nanggung kesusahan seperti gagal melunaskan gaji pemain sekiranya berbelanja lebih daripada kemampuan,” titah ba­gin­da.

Tunku Ismail turut bertitah, setakat ini, kontrak kapten, Safiq Rahim dilanjutkan sehingga tahun 2019.

Berhubung dengan jumlah tajaan yang diterima Johor DT daripada syarikat pengeluar peralatan sukan Nike, Tunku Ismail bertitah, ia merupakan antara termahal di negara ini.

“Johor DT akan sentiasa memberi keuntungan kepada penaja. Johor DT telah membuktikan ia merupakan sebuah kelab terbaik di Asia Tenggara selain Persib Bandung dari Indonesia dan Buriram United dari Thailand,” titah baginda.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4QL1Gc4w4 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan