PENYERANG Johor DT, Mohd.
Amirul Hadi Zainal (depan) melepaskan tandukan kencang ke arah pintu gol
pasukan PDRM pada aksi suku akhir kedua Superbest Power Piala FA di Stadium Tan
Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi yang berkesudahan Harimau Selatan
menang 5-2.
JOHOR Darul Takzim (Johor DT)
melengkapkan empat pasukan yang layak ke saingan separuh akhir Superbest Power
Piala FA 2016 apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-2 pada aksi
kedua suku akhir di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Skuad bimbingan Mario Gomez itu
meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 6-2 selepas turut meraih
kemenangan 1-0 pada aksi pertama di Stadium Hang Jebat Melaka pada 19 Mac lalu.
Lawan yang akan menanti mereka
di separuh akhir nanti ialah Kedah yang turut mara selepas menewaskan Sabah
dengan agregat 3-2 malam kelmarin.
Dua lagi pasukan yang
melengkapkan tempat pada separuh akhir ialah Perak dan PKNS FC.
Pada perlawanan malam tadi,
Harimau Selatan tampil dengan kelas tersendiri apabila mendahului perlawanan
seawal minit ke-15 menerusi jaringan Pereyra Diaz dan dia sekali lagi mencatat
nama sebagai penjaring pada minit ke-29 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kapten Safiq Rahim terus
meletakkan Johor DT dalam keadaan selesa apabila menjaringkan gol ketiga pada
minit ke-40 sebelum Azniee Taib meledak gol keempat pasukan tuan rumah pada
minit ke-42 menerusi percubaan dari luar kotak penalti.
Walaupun ketinggalan 0-4, ia
tidak mematahkan semangat pemain PDRM untuk meloloskan diri dan usaha mereka
berhasil pada minit ke-49 menerusi jaringan Andrezinho sebelum Ahmad Nizam
Rodzi menjadikan kedudukan 2-4 menerusi jaringannya pada minit ke-63.
Begitupun, Juan Martín Lucero
meneruskan kecemerlangan Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kelima pada
minit ke-66 dan keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
“Ini merupakan malam gemilang
buat Johor DT dan para pemain telah menunjukkan kesungguhan untuk meraih
kemenangan,” jelas Gomez.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44iRfN0du
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan