Sabtu, 2 April 2016

Rekod Melaka lebur



Penjaga gol Melaka, V. Murugan (kiri) berjaya mematahkan serangan dua pemain Johor, Mohd Aiman Wong Abdullah (kanan) dan Gaston Marcel Conlon dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Hang Jebat Melaka, semalam. - GAEL UCHEL.
KUALA LUMPUR - Pasukan berstatus kelab, Johor FC mencipta kejutan apabila memadamkan rekod tanpa kalah Melaka menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam saingan Liga Perdana Kumpulan B.
Kemenangan bergaya milik Johor FC sekali gus meletakkan mereka sebagai pendahulu yang baru memintas Melaka.
Dalam Kumpulan A menyaksikan Sarawak gagal mempertahankan mahkota selaku pendahulu apabila tumpas 3-1 kepada Kedah.
Kemenangan milik Kedah memastikan mereka merampas tampuk sebagai pendahulu.
Di Stadium Darul Aman, Kedah bertindak cemerlang apabila mudah mengenepikan saingan getir Sarawak menerusi kemenangan 3-1.
Kemenangan itu cukup melegakan buat Kedah ditabalkan selaku pendahulu liga Kumpulan A yang sebelum ini menjadi milik Sarawak.
Kedah kini memiliki 17 mata membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi Marcos Magno sebelum disusuli gol kedua jaringan Fauzi Nan pada minit ke-48.
Kedah makin selesa apabila Magno menambah gol peribadinya yang kedua pada minit ke-61 namun Sarawak merapatkan jurang menerusi Robert Eshun pada minit ke-79.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brunei 4-2.
Gol-gol Terengganu telah dijaringkan oleh Zairo Anuar Zalani (m-12), Sharkei Miranda (m-52, m-80) dan Fabior Flor (m-76) manakala dua gol Brunei menerusi Tiago Dos Santos (m-5) dan Fadlin Gelawat (m-45).
Di Stadium Larkin, Johor mudah menewaskan Perak UPB 4-0.
Johor memperoleh gol menerusi Toure Morlaye (m-43), Ahmad Latif Kamaruddin (m-71, m-81) dan Norizam Salaman (m-90)
Di Stadium Batu Kawan, NTFA hanya mampu mengutip satu mata apabila sekadar seri 0-0 dengan Kelantan.
Di Stadium Hang Jebat, rekod tanpa kalah Melaka lebur apabila tumpas mengejut kepada Johor FC 1-0.
Kemenangan bergaya Johor FC sekali gus memastikan pasukan berstatus kelab itu merampas kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B daripada genggaman Melaka.

Mohd. Aiman Wong Abdullah muncul hero apabila rembatan derasnya terus menerjah jaring pada minit ke-13 memastikan kemenangan membawa pulang tiga mata berharga milik Johor FC.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan