DIAZ akan terus diberi
kepercayaan mengetuai jentera serangan Johor DT pada aksi menentang Bengaluru
FC malam ini.
SKUAD Johor Darul Takzim (Johor
DT) tiada pilihan lain kecuali menang pada aksi separuh akhir kempen Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 menentang wakil India, Bengaluru FC di
Stadium Sree Kanteeraya, Bangalore malam ini.
Kedua-dua pasukan kini terikat
dengan agregat 1-1 hasil keputusan perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Dato’
Hassan Yunos, Larkin pada 28 Ogos lalu.
Andai seri tanpa jaringan pada
aksi kedua ini, hasrat Johor DT untuk mara akan musnah kerana pasukan lawan
mereka itu memiliki kelebihan jaringan di gelanggang lawan.
Perlawanan malam ini ibarat
detik penentuan buat skuad Harimau Selatan itu yang merupakan juara bertahan
Piala AFC selepas menewaskan kelab Tajikstan, Istiklol 1-0 pada final di
Stadium Pamir, Dushanbe tahun lalu.
Walaupun menyedari tugas mereka
di gelanggang lawan itu agak berat tetapi jurulatih, Mario Gomez belum mahu
menyerah.
Jurulatih yang berasal dari
Argentina itu tetap yakin skuad kendaliannya mampu meraih kemenangan.
“Kami mahukan kemenangan pada
perlawanan malam esok (malam ini). Biarpun kita tahu laluan buat pasukan agar
sukar selepas sekadar seri 1-1 pada aksi pertama tempoh hari tetapi saya tetap
yakin anak-anak buah saya mampu melakukan kejutan.
“Saya yakin mereka akan bermain
bermati-matian untuk memenangi perlawanan separuh akhir kedua itu nanti, sekali
gus melayakkan diri ke perlawanan akhir,” kata Gomez ketika dihubungi semalam.
Gomez memberitahu, barisan
pemain yang akan diturunkan pada malam ini adalah yang terbaik termasuk dua
penyerang dari Argentina yang akan mengetuai jentera serangan.
“Tentunya Juan Martin Lucero
dan Diaz akan diturunkan selain bahagian pertengahan yang akan dikendalikan
oleh Safiq Rahim, manakala bahagian pertahanan akan dibarisi pemain seperti
Marcos Antonio,” katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4NWLTlJYL
Hakcipta terpelihara