NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
19 OKTOBER 2016
Izham Tarmizi Roslan Izham giat
berlatih bersama rakan sepasukan Farizal Marlias menjelang perlawanan separuh
akhir kedua Piala AFC, malam ini. - Foto : FB JOHOR Southern Tigers
PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim
(JDT), Izham Tarmizi Roslan mahu rakan sepasukannya memberi kerjasama yang
tinggi untuk membolehkan mereka melakar
kemenangan ketika berdepan Bengaluru pada separuh akhir kedua Piala AFC di
Stadium Sree Kanteerava, Bangalore malam ini.
Izham berkata, komitmen
kesebelasan pemain skuad Harimau Selatan amat ditagih supaya dapat menyajikan aksi terbaik ketika
berdepan pasukan bimbingan Albert Roca itu nanti.
“Kerjasama berpasukan akan
menjadi kekuatan utama kami untuk bangkit memburu kemenangan sekali gus mara ke
final.
“Apa yang kami lakukan dalam
sesi latihan, saya lihat rakan sepasukan dalam motivasi yang baik.
“Oleh itu, rasanya tiada
masalah untuk kami bermain nanti dan saya yakin kita mampu menewaskan mereka,”
katanya.
Selain itu, Izham bertekad
memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi pada pertemuan tersebut andai
diberi kepercayaan oleh jurulatih.
“Kami terlepas peluang memburu
kemenangan selesa selepas seri 1-1 separuh akhir pertama tempoh hari sekali gus
beri kelebihan kepada Bengaluru selepas memiliki gol di tempat lawan.
“Saya akui ia perlawanan agak sukar, tapi kami harus ketepikan
kelebihan itu dengan memberi tentangan sengit.
“Saya janji akan berusaha untuk
mengunci gawang dari dibolosi dengan harapan pemain lain akan membantu dengan
memberi aksi 100 peratus di padang,” ujarnya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 19 OKTOBER
2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan