Selasa, 18 Oktober 2016

Tak rela gawang bolos

 IZHAM enggan ulangi kesilapan lalu.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Izham Tarmizi Roslan tidak rela gawangnya dibolosi apabila berdepan Bengaluru pada separuh akhir kedua Piala AFC di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore, Rabu ini.

Bagaimanapun, Izham tidak menolak pertembungan dengan kelab dari India itu tampak begitu sukar kerana beraksi di gelanggang lawan yang dianggap begitu getir.

Jelasnya, walaupun pernah menewakan Bengaluru 1-0 pada peringkat kumpulan sebelum ini, ia cerita ketika pasukan itu dibimbing oleh jurulatih Ashley Westwood namun pasukan itu tampak lebih mantap apabila berada di bawah bimbingan Albert Roca.

“Kami terlepas peluang memburu kemenangan selesa selepas diikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Larkin, 28 September lalu dan kelebihan memihak Bengaluru selepas menjaringkan gol di tempat lawan.

“Saya akui ia perlawanan yang agak sukar buat Johor DT yang bertandang ke gelanggang lawan namun kami harus ketepikan kelebihan yang memihak Bengaluru sebaliknya perlu memberi tentangan sengit pada aksi yang menjadi penentu untuk memburu pentas final.

“Kami sudah menjalani latihan yang cukup rapi di bawah kendalian jurulatih, Mario Gomez dan rakan sepasukan tampak begitu bersemangat dan kerjasama berpasukan yang sudah lama dibentuk akan menjadi kekuatan Johor DT memburu kemenangan,” ujarnya.

Izham juga mengakui betapa kesilapannya yang tidak berada di posisi terbaik menyebabkan dia gagal menghalang bola rembatan deras Eugeneson Lyngdoh amat dikesali.

Menurutnya, apa jua kesilapan ketika separuh akhir pertama perlu segera diperbaiki selepas jurulatih, Khairul Azman Mohamad memberi penekanan terhadap latihan yang lebih agresif dan memperbaiki teknik menjaga gawang dengan lebih mantap dan menasihatkan untuk lebih waspada dengan bola rembatan jarak jauh.

“Kami melihat kembali rakaman video separuh akhir pertama untuk menganalisis corak permainan Bengaluru dan memantapkan setiap posisi untuk memastikan lawan tidak mengambil kesempatan pada aksi itu nanti,” jelas Izham.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 9:16 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan