Isnin, 23 Oktober 2017

Johor FC makin menyengat



 
PENYERANG Johor FC, Mouise Moudouraou (kiri) berjaya melepasi pertahanan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Pasir Gudang malam tadi.
  
GERGASI bola sepak selatan, Johor FC kembali ke landasan sebenar bagi mengejar peneraju Liga Super, Kedah apabila berjaya menjinakkan Pahang 1-0 di Stadium J.Corp, Pasir Gudang malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang masih dihantui dua kekalahan berturut-turut sebelum ini dilihat bernafsu menyerang kubu lawan sejak dari awal permainan yang dicorakkan oleh kapten pasukan, Tengku Hazman Raja Hassan.

Begitupun pasukan Tok Gajah yang dilihat lebih banyak bertahan pada babak pertama berjaya mematahkan setiap asakan yang dilancarkan oleh tonggak import Sang Lebah, Walter Ariel Silva dan Andres Fuentes Gustavo.

Ketiadaan penyerang prolifik, Eddy Helmi Manan ternyata merencatkan corak serangan pasukan tuan rumah apabila banyak hantaran jauh dari tengah padang gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Gol pendahuluan tuan rumah akhirnya menjelma apabila Andres Fuentes yang tidak dikawal dalam kotak penalti mudah menyempurnakan peluang tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Mohd. Riduwan Maon nyaris menambah derita pelawat sebaik babak kedua bermula namun sepakan kencangnya yang cuma berdepan dengan penjaga gol Pahang, Mohd. Syamsuri Mustaffa berjaya ditepis keluar.

Jentera serangan Pahang yang diketuai oleh Hairudin Omar dan G. Saravanan kembali mengasak dan sering mengkucar-kacirkan pertahanan Johor FC tetapi Mouise Moudourou bijak mengawal keadaan.

Pahang dilihat semakin tertekan apabila rembatan Syed Farul Hakim Syed Mahmud sedikit tersasar pada minit ke-70, manakala percubaan jarak jauh Hairudin seminit selepas itu terus ke dakapan penjaga gol Johor FC, G. Jeevananthan.

Cubaan pasukan pelawat untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata punah apabila rembatan kencang Saravanan dalam kotak penalti berjaya ditepis Jeevananthan pada masa kecederaan.

Dengan kemenangan itu, Johor FC kini mengumpul 16 mata.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4wNYmBkPt
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan