ARKIB : 22/04/2009
Oleh arif nizam abdullah
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Cabaran Johor FC
pada saingan bola sepak Piala AFC berakhir apabila dibelasah South China dari
Hong Kong 1-4 di Stadium J. Corp Pasir Gudang di sini, semalam.
Johor FC yang turun dengan misi
antara hidup dan mati serta perlu menewaskan pasukan pelawat ternyata gagal
menggunakan kelebihan bermain pada waktu petang di gelanggang sendiri.
Perlawanan keempat skuad Lebah
dalam Kumpulan F itu mempamerkan sikap leka anak buah Ramlan Rashid yang hampir
memakan diri apabila dikejutkan dengan rembatan padu pemain import lawan dari
Brazil, Caca yang menggegar pintu gol kiri tuan rumah pada minit ke-19.
Namun, gawang Johor FC akhirnya
bocor apabila Caca mudah menyempurnakan hantaran silang rakan senegaranya,
Tales Schutz yang lincah bergerak dari sebelah kiri padang pada minit ke-28.
Aksi seterusnya jelas milik
pasukan pelawat yang membariskan tiga pemain luar dari Brazil apabila garang
mengatur serangan ke arah kubu lawan namun kedudukan 1-0 kekal hingga separuh
masa pertama.
Dua minit separuh masa kedua
bermula, pemain lawan terus mengganas di gawang Johor FC apabila giliran Tales
pula menjadi pemusnah menerusi rembatan kencang untuk kedudukan 2-0.
Jaringan itu bagaimanapun memberi
suntikan semangat kepada Johor FC apabila berjaya merapatkan kedudukan pada
minit ke-50 apabila sepakan percuma Eddy Helmi Abdul Manan terus menerjah
jaring lawan.
Permainan yang menjadi rancak
selepas itu masih gagal menambah jaringan yang memihak kepada pasukan Johor FC
dan mereka dihukum oleh serangan pantas pihak lawan apabila Chan Chi Hong
mengubah kedudukan 3-1 pada minit ke-65.
Johor FC terus memberikan
tentangan sengit untuk merapatkan kedudukan namun kesilapan penjaga G.
Jeevanatham menangkap kemas hantaran silang membuka peluang kepada Caca untuk
menambah jaringan peribadi keduanya untuk kedudukan 4-1 pada minit-minit akhir
perlawanan.
Sementara itu, pada sidang akhbar
selepas perlawanan, jurulatih lawan, Kim Pam Gon berkata, dia tidak menyangka
anak buahnya dapat menjaringkan empat gol di tempat lawan berbanding kemenangan
2-0 di tempat sendiri, awal bulan ini.
Katanya, rata-rata pemain berjaya
mengikut arahan agar bijak menggunakan stamina dalam cuaca panas terik bagi
tidak menjejaskan permainan mereka.
"Mereka tahu bila perlu
menyerang dan bertahan agar tidak terlalu kerap berlari untuk mewujudkan gaya
permainan yang efisien.
"Malah kehadiran tiga pemain
luar dari Brazil juga merupakan satu kelebihan kepada pasukan saya berbanding
Johor FC yang mempertaruhkan pemain tempatan," katanya.
Ramlan pula mengakui dia berasa
kecewa apabila pasukannya gagal melepasi cabaran seterusnya dalam percubaan
pertama Piala AFC itu, namun kekalahan 1-4 itu adalah di luar jangkaan.
Jelasnya, kekalahan itu merupakan
satu pendedahan yang baik untuk pemainnya mengukur kemampuan mereka apabila
kerap menonjolkan kelemahan kurang disiplin dalam setiap permainan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5AD9IldC1
© Utusan Melayu (M) Bhd