SAFIQ RAHIM (dua dari kanan)
bersalaman dengan tonggak Tampines Rovers, Fazrul Nawaz sambil diperhatikan
oleh jurulatih mereka Raul Longhi (kanan) dan Jurgen Raab dalam sidang akhbar
menjelang perlawanan Piala AFC 2018 bagi kumpulan H di Johor Bahru semalam.
14 Mac 2018 3:00 AM
JOHOR BAHRU 13 Mac – Safiq Rahim
yakin Johor Darul Ta’zim (JDT) telah pulih daripada insiden pemergian bintang
penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Harimau Selatan kini bersedia
untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Tampines Rovers esok.
Diaz meninggalkan JDT secara
tiba-tiba pada malam mereka sepatutnya ke Vietnam untuk menghadapi Song Lam
Nghe An pada penghujung bulan lalu. Ketiadaannya menyaksikan JDT tumpas 2-0 dan
kemudian sekadar seri tanpa jaringan dengan Tampines di Singapura.
Walau bagaimanapun, ketua pasukan
JDT, Safiq berkata ketiadaan Diaz tidak memberi impak negatif terhadap moral
pemain dan beberapa perlawanan dalam Liga Super membuktikan perkara tersebut.
JDT kini merampas semula
kedudukan teratas liga selepas menumpaskan Terengganu 1-0 minggu ini.
Safiq juga memberi jaminan bahawa
setiap pemain yang terpilih dalam kesebelasan utama akan memberi aksi terbaik
di Stadium Tan Sri Hassan Yunos esok untuk meraih kemenangan ke atas Tampines.
“Kami lebih fokus terhadap
pasukan sendiri dengan menilai kekuatan dan kelemahan kami. Setiap kelemahan
diperbaiki, manakala kekuatan terus dipertingkat,” katanya dalam sidang akhbar
menjelang perlawanan di sini hari ini.
Jurulatih JDT, Raul Longhi
bagaimanapun mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan
Tampines walaupun mereka akan menghadapi lawan dalam Kumpulan H itu di
gelanggang keramat mereka.
Katanya, setiap pasukan yang
menentang Harimau Selatan pasti akan berusaha untuk menewaskan JDT.
“Ini kerana setiap pasukan yang
bertemu dengan JDT pasti akan melakukan yang terbaik. Jadi, amat penting untuk
pemain sentiasa bersedia sama ada dalam aspek fizikal mahupun mental.
“Kami akan bermain sepenuh hati
untuk mencatatkan kemenangan, sekali gus mengutip tiga mata penuh, apatah lagi
bermain di gelanggang sendiri,” katanya.
Ketua jurulatih Tampines, Jurgen
Raab pula berkata pasukannya bersedia untuk memberi saingan sengit buat JDT
walaupun mengakui kelebihan Harimau Selatan kerana bermain di laman sendiri.
“Saya tahu kemampuan dan kekuatan
JDT, namun esok kami akan bermain bersungguh-sungguh dan beri saingan kepada
mereka.
“Kami juga turun dengan misi
untuk menang dalam perlawanan esok,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-tampines-janji-perlawanan-sengit-1.626959#ixzz5A4SwUXdP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan