Isnin, 19 Mac 2018

Piala AFC: Cabaran Johor FC berakhir selepas tewas 1-4


ARKIB : 22/04/2009
Oleh arif nizam abdullah
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Cabaran Johor FC pada saingan bola sepak Piala AFC berakhir apabila dibelasah South China dari Hong Kong 1-4 di Stadium J. Corp Pasir Gudang di sini, semalam.

Johor FC yang turun dengan misi antara hidup dan mati serta perlu menewaskan pasukan pelawat ternyata gagal menggunakan kelebihan bermain pada waktu petang di gelanggang sendiri.

Perlawanan keempat skuad Lebah dalam Kumpulan F itu mempamerkan sikap leka anak buah Ramlan Rashid yang hampir memakan diri apabila dikejutkan dengan rembatan padu pemain import lawan dari Brazil, Caca yang menggegar pintu gol kiri tuan rumah pada minit ke-19.

Namun, gawang Johor FC akhirnya bocor apabila Caca mudah menyempurnakan hantaran silang rakan senegaranya, Tales Schutz yang lincah bergerak dari sebelah kiri padang pada minit ke-28.

Aksi seterusnya jelas milik pasukan pelawat yang membariskan tiga pemain luar dari Brazil apabila garang mengatur serangan ke arah kubu lawan namun kedudukan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama.

Dua minit separuh masa kedua bermula, pemain lawan terus mengganas di gawang Johor FC apabila giliran Tales pula menjadi pemusnah menerusi rembatan kencang untuk kedudukan 2-0.

Jaringan itu bagaimanapun memberi suntikan semangat kepada Johor FC apabila berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-50 apabila sepakan percuma Eddy Helmi Abdul Manan terus menerjah jaring lawan.

Permainan yang menjadi rancak selepas itu masih gagal menambah jaringan yang memihak kepada pasukan Johor FC dan mereka dihukum oleh serangan pantas pihak lawan apabila Chan Chi Hong mengubah kedudukan 3-1 pada minit ke-65.

Johor FC terus memberikan tentangan sengit untuk merapatkan kedudukan namun kesilapan penjaga G. Jeevanatham menangkap kemas hantaran silang membuka peluang kepada Caca untuk menambah jaringan peribadi keduanya untuk kedudukan 4-1 pada minit-minit akhir perlawanan.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas perlawanan, jurulatih lawan, Kim Pam Gon berkata, dia tidak menyangka anak buahnya dapat menjaringkan empat gol di tempat lawan berbanding kemenangan 2-0 di tempat sendiri, awal bulan ini.

Katanya, rata-rata pemain berjaya mengikut arahan agar bijak menggunakan stamina dalam cuaca panas terik bagi tidak menjejaskan permainan mereka.

"Mereka tahu bila perlu menyerang dan bertahan agar tidak terlalu kerap berlari untuk mewujudkan gaya permainan yang efisien.

"Malah kehadiran tiga pemain luar dari Brazil juga merupakan satu kelebihan kepada pasukan saya berbanding Johor FC yang mempertaruhkan pemain tempatan," katanya.

Ramlan pula mengakui dia berasa kecewa apabila pasukannya gagal melepasi cabaran seterusnya dalam percubaan pertama Piala AFC itu, namun kekalahan 1-4 itu adalah di luar jangkaan.

Jelasnya, kekalahan itu merupakan satu pendedahan yang baik untuk pemainnya mengukur kemampuan mereka apabila kerap menonjolkan kelemahan kurang disiplin dalam setiap permainan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5AD9IldC1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan