Selasa, 3 Februari 2015

JDT fokus playoff Liga Juara-Juara Asia

MOHD FIRDAUS YON

3 Februari 2015
 Safiq (duduk, depan) tekad bawa nama JDT dan Malaysia di peringkat Asia.
Safiq (duduk, depan) tekad bawa nama JDT dan Malaysia di peringkat Asia. Safiq (duduk, depan) tekad bawa nama JDT dan Malaysia di peringkat Asia.

BAKAL bersaing jadual perlawanan yang ketat pada tahun ini, barisan kejurulatihan skuad Harimau Selatan dijangka melakukan banyak perubahan dalam setiap perlawanan, lapor MOHD FIRDAUS YON.

Selepas berjaya mengharungi cabaran perlawanan pertama dengan merangkul Piala Sumbangsih 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini beralih fokus untuk beraksi cemerlang dalam playoff Liga Juara-Juara Asia yang akan bermula tidak lama lagi.

Pada masa sama, tumpuan juga terarah kepada usaha mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi pada musim lalu, selain beraksi cemerlang dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebagai pemain tengah JDT, Safiq Rahim mengakui bersedia untuk menjalankan tanggungjawab diberikan jurulatih seandainya terus diberi peluang untuk mengemudi jentera tengah pasukan.

Dia turut mengeluarkan nada positif terhadap rakan sepasukan sekiranya tidak diturunkan oleh pengendali JDT, Bojan Hodak yang sudah melaungkan kemahuan untuk membuat penggiliran lebih kerap pada tahun ini.

“Keputusan terletak pada jurulatih, siapa yang berhak untuk main. Kita sebagai pemain hanya menjalankan tanggungjawab, tidak kisahlah siapa yang main, kita kena bagi apa jurulatih mahukan.

“Saya percaya pada rakan dan diri sendiri bahawa JDT akan buat sesuatu untuk musim baharu,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan JDT dan Pahang bagi merebut Piala Sumbangsih, baru-baru ini.

Safiq berkata, semua barisan pemain JDT kini teruja kerana mendapat peluang bertanding dalam playoff Liga Juara-Juara Asia sekali gus bertekad untuk beraksi sehabis baik dengan membawa nama JDT dan Malaysia.

“Saya mahukan Liga-M dipandang (positif) orang luar. Oleh itu, saya dan rakan-rakan mahukan satu pencapaian yang baik dalam Liga Juara-Juara Asia. Permulaan pertandingan (kelayakan) di sini, saya tidak mahu kita lepaskan peluang.

“Keputusan yang baik dan positif perlu diraih bagi perlawanan pertama ini, dan melangkah ke peringkat seterusnya. Kami akan berlawan habis-habisan,” katanya.

Safiq turut percaya dengan penggiliran pemain yang dilakukan oleh barisan kejurulatihan tidak akan menggugat usaha JDT untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan.

“Saya percaya pada rakan-rakan semua. Barisan pemain bagi tahun 2015 boleh bermain, mungkin hari ini satu pasukan ini bermain, esok satu  pasukan lain, namun kita akan dapat keputusan baik.

“Tahun 2015 berbeza dengan tahun 2014, kami sentiasa meningkatkan prestasi. Tahun 2014 sudah menjadi sejarah, sementara 2015 pula kita membuka lembaran baharu,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 3.2.15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan