Kelana Jaya: Kapten skuad bawah
22 tahun negara (B-22) Nazirul Naim Che Hashim percaya dia dan rakan sepasukan
tidak lemas dengan pujian susulan kejayaan diraih baru-baru ini sebaliknya
kekal fokus dengan misi sebenar kejohanan kelayakan AFC B-23 bulan depan.
Skuad kendalian Razip Ismail
itu dijulang selepas merangkul Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh 8 Februari
lalu dan harapan lebih tinggi kini diletakkan di bahu pemain untuk
merealisasikan misi utama pada kelayakan itu nanti.
Bagi Nazirul, 21, dia percaya
kejayaan awal diraih itu tidak membuatkan mereka cepat ‘besar kepala’ kerana
mereka masih berpijak di bumi nyata.
“Peringatan akan selalu
diberikan jika ada pemain bersikap sedemikian, tapi saya yakin semua pemain
tetap fokus dengan misi sebenar. Kejayaan di Bangladesh itu kami anggap
hanyalah aksi persahabatan sebagai persiapan bagi pusingan kelayakan (AFC B-23)
kerana itu sasaran utama kami,” katanya kepada Arena Metro.
Skuad B-22 berlepas ke Surabaya
semalam bagi perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Indonesia Selasa ini
sebelum dijadual bertemu skuad B-20 Fiji pada 23 Februari dan skuad B-23
Pakistan tiga hari selepas itu di Kuala Lumpur.
“Saya lihat peningkatan
semangat berpasukan dalam kalangan pemain. Mereka tidak cepat mengalah dan
memberikan komitmen lebih 100 peratus.
“Namun masih ada banyak perkara
yang perlu diperbaiki, kami perlu kurangkan kesilapan mudah,” katanya.
Pemain kelahiran Perak itu
pernah mengikat kontrak dengan kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu bersama
seorang lagi bekas pemain Harimau Muda A Wan Zack Haikal pada 2003 selama
hampir setahun sebelum kembali ke Malaysia.
Pada pusingan kelayakan AFC
B-23 di Stadium Shah Alam, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan I bakal bertemu
Vietnam pada 27 Mac, diikuti Macau (29 Mac) dan Jepun (31 Mac).
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:20 AM
NAZIRUL harap rakan mampu pamer
aksi kosisten pada kelayakan AFC B-23.
SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/31205#sthash.8u32JhQV.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan