PASUKAN Johor DT cipta sejarah
baru bola sepak negara.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kejayaan Johor
Darul Ta’zim (Johor DT) layak ke saingan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL)
disifatkan sebagai bukan bergantung kepada nasib sebaliknya ia berlaku hasil
kegigihan pengurusan, kejurulatihan dan pemain.
Transformasi yang dilakukan
sejak empat tahun lalu selain kegagalan melepasi kempen kelayakan pusingan
kedua ACL sepanjang dua edisi lalu bagaikan memberi motivasi buat kelab yang
dimiliki Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk sentiasa
melakukan pembaharuan.
Kelmarin, Johor DT melangkah ke
pusingan memburu slot ke saingan peringkat kumpulan ACL apabila menang 5-4
menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan Bangkok United FC
pada aksi sebenar di Stadium Thammasat, Pathum Thani.
Tunku Ismail yang gembira
dengan pencapaian barisan bimbingan Benjamin Mora itu pantas mengucapkan
tahniah kepada pemain dan barisan kejurulatihan Johor DT.
“Ia adalah satu kebanggaan dan
penghormatan apabila sudah berada di pusingan kelayakan ACL dan kejayaan layak
ke pusingan penentuan ACL adalah satu sejarah buat kami.
“Johor DT adalah kelab pertama
tanah air yang bersaing di pusingan kelayakan ACL buat kali ketiga
berturut-turut dan juga kelab pertama yang berjaya melangkah ke pusingan
penentuan ACL. Sejarah demi sejarah dicipta dan ia amat membanggakan,” kata
Tunku Ismail menerusi kenyataan rasmi di dalam JOHOR Southern Tigers.
Pada aksi yang cukup
mendebarkan itu, Johor DT terlebih dulu mencipta jaringan menerusi tandukan
kapten Safiq Rahim yang menerima umpanan Jeronimo Barreles pada minit ke-108.
Namun, empat minit kemudian,
Johor DT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Barreles dilayangkan kad
merah dan kesempatan itu diambil Jaycee Okwunwanne untuk menyamakan jaringan
pada minit akhir babak kedua masa tambahan sekali gus mengheret perlawanan ke
penentuan penalti.
Penjaga gol Johor DT Farizal
Marlias muncul wira pasukan apabila berjaya menepis dua sepakan penalti skuad
bimbingan Alexandre Polking bagi memastikan juara Piala AFC 2015 itu mara ke
pusingan play-off.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:48 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan