Rabu, 22 Februari 2017

Piala AFC: JDT bangkit dari lena, Felda tunduk

SKUAD JDT meraikan kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan
SKUAD JDT meraikan kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala AFC setelah membenam kelab Kemboja, Beoungket Angkor 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.- BERNAMA
21 Februari 2017 10:54 PM

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan langkah kanan apabila meraih tiga mata selepas menang 3-0 ke atas pendatang baharu dari Kemboja, Beoungket Angkor dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Tewas dalam aksi terakhir Liga Super Sabtu lalu, juara edisi 2015 itu bagaimanapun enggan dibuai episod sedih, dengan hanya mengambil tempoh 10 minit pertama untuk menyumbat dua gol masing-masing menerusi Gabriel Guerra (minit kedua) dan Nazmi Faiz Mansor (minit ke-10).

Pada ketika saingan berbaki dua minit sebelum masa penuh tamat, kapten Safiq Rahim sempat menanduk masuk hantaran daripada Gonzalo Cabrera, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya JDT ke atas juara Kemboja itu.

“Memang kami inginkan kemenangan dalam setiap perlawanan. JDT bermain dengan sangat baik, memiliki idea dan gaya tersendiri.

“Menang dalam aksi pembukaan ini sangat penting agar ia dapat menyuntik semangat kami untuk kekal bersaing dalam pertandingan ini. Harap kami dapat merangkul trofi Piala AFC seperti tahun 2015,” kata pengendali JDT, Benjamin Mora kepada Fox Sports sejurus tamat perlawanan.

JDT kini menghuni tangga teratas kumpulan dengan berkongsi tiga mata bersama Global FC, selepas kelab Filipina itu menumbangkan Magwe dari Myanmar 1-0 di Stadium Memorial Bola Sepak Rizal, Manila.

Bagaimanapun, skrip kemenangan tidak berpihak kepada Felda United, yang ‘segar’ daripada sentuhan jurulatih baharu B. Sathianathan apabila tewas kepada tuan rumah Tampines Rovers 1-2 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Terdahulu, babak pertama menyaksikan masing-masing buntu tanpa jaringan sehinggalah Son Yong Chan membuka jaringan buat kelab Singapura itu pada minit ke-64.

The Fighters cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun Tampines sekali lagi menambah gol menerusi penyerang terbaik Singapura, Khairul Amri pada minit ke-82.


Bagaimanapun, ketika tiga minit berbaki sebelum masa penuh tamat, Fazrul Hazli Kadri merembat gol sagu hati buat Felda United, yang menyaksikan hasrat mereka untuk mengubati kekecewaan dibenam 3-1 oleh Selangor di Sela­yang, Jumaat lalu tidak kesampaian.- UTUSAN ONLINE 21.2.2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan