ARKIB : 19/02/2009
JOHOR BAHRU - Johor FC perlu
segera melakukan bedah siasat drastik bagi mengenal pasti punca sebenar
penyakit yang dihidapi ekoran prestasi merudum selepas tiga kekalahan
berturut-turut.
Bermula awal bulan ini, pasukan
Sang Lebah itu tersingkir dalam saingan Piala FA apabila mengalami kekalahan
0-1 secara agregat kepada Pulau Pinang sebelum dibelasah teruk Negeri Sembila
3-0 dalam aksi Liga Super minggu lalu.
Sabtu lalu, anak buah Ramlan Rashid
itu sekali lagi dimalukan barisan muda Perak 1-0 di gelanggang sendiri dan
kelmarin, nasib Johor FC terus dirundung malang apabila lebur kepada Perlis 2-1
di hadapan penyokong mereka buat kali kedua.
Hakikatnya, pasukan yang
menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu ini sebenarnya masih mempunyai
kekuatan setanding pasukan lain.
Cuma, masalah timbul apabila
kesebelasan pemain yang turun beraksi longlai dan strategi percaturan jurulatih
tidak diterjemahkan.
Gaya permainan individualistik,
hantaran lemah, mudah hilang kawalan bola dan bermain 'bersopan-santun', itu
adalah rumusan yang diberikan oleh Ramlan dalam nada yang cukup kecewa.
Malah, dengan sinis dia
berkata: "Apa yang ditunjukkan pemain bukan lagi mengecewakan saya. Kalau
ada tahap yang melebihi rasa kecewa, itulah perasaan saya ketika ini."
Ramlan berkata, dia sendiri
bingung dengan aksi anak buahnya sepanjang bulan ini sambil menyifatkan corak
permainan yang ditunjukkan mereka adalah 'merepek'.
"Mungkin saya terpaksa
kembali kepada asas permainan bola sepak bagaimana hendak mengajar mereka
berlari, menyepak, menanduk dan membuat hantaran dengan tepat," tegasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51tvECfQl
© Utusan Melayu (M) Bhd