Khamis, 21 Disember 2017

Ramlan lepas geram

ARKIB : 19/02/2009
JOHOR BAHRU - Johor FC perlu segera melakukan bedah siasat drastik bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit yang dihidapi ekoran prestasi merudum selepas tiga kekalahan berturut-turut.

Bermula awal bulan ini, pasukan Sang Lebah itu tersingkir dalam saingan Piala FA apabila mengalami kekalahan 0-1 secara agregat kepada Pulau Pinang sebelum dibelasah teruk Negeri Sembila 3-0 dalam aksi Liga Super minggu lalu.

Sabtu lalu, anak buah Ramlan Rashid itu sekali lagi dimalukan barisan muda Perak 1-0 di gelanggang sendiri dan kelmarin, nasib Johor FC terus dirundung malang apabila lebur kepada Perlis 2-1 di hadapan penyokong mereka buat kali kedua.

Hakikatnya, pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu ini sebenarnya masih mempunyai kekuatan setanding pasukan lain.

Cuma, masalah timbul apabila kesebelasan pemain yang turun beraksi longlai dan strategi percaturan jurulatih tidak diterjemahkan.

Gaya permainan individualistik, hantaran lemah, mudah hilang kawalan bola dan bermain 'bersopan-santun', itu adalah rumusan yang diberikan oleh Ramlan dalam nada yang cukup kecewa.

Malah, dengan sinis dia berkata: "Apa yang ditunjukkan pemain bukan lagi mengecewakan saya. Kalau ada tahap yang melebihi rasa kecewa, itulah perasaan saya ketika ini."

Ramlan berkata, dia sendiri bingung dengan aksi anak buahnya sepanjang bulan ini sambil menyifatkan corak permainan yang ditunjukkan mereka adalah 'merepek'.

"Mungkin saya terpaksa kembali kepada asas permainan bola sepak bagaimana hendak mengajar mereka berlari, menyepak, menanduk dan membuat hantaran dengan tepat," tegasnya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51tvECfQl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan