Jumaat, 15 Disember 2017

Johor FC tidak rela catat keputusan seri lagi

ARKIB : 13/01/2009
JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid berkata, kemenangan ke atas Selangor amat penting bagi melenyapkan sama sekali badi seri yang boleh menjerat harapan tinggi skuad Sang Lebah dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut Ramlan, Johor FC tidak rela mengakhiri perlawanan dengan dengan keputusan seri lagi selepas mencatatkan seri dua kali berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini.

Walaupun masih kebal dengan rekod tanpa kalah, Ramlan mengakui anak buahnya perlu melakukan satu titik tolak yang penting bagi memastikan momentum permainan lebih garang pada perlawanan akan datang.

Perlawanan Johor FC menentang Selangor di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini pastinya ditunggu-tunggu peminat bola sepak selepas pasukan lawan kelihatan unggul menerajui takhta liga dengan tiga kemenangan berturut-turut pada musim ini.

"Saya tidak menafikan Selangor merupakan pasukan yang dianggap bahaya ketika ini dengan prestasi terkini mereka yang begitu konsisten.

"Saya cuma berharap pemain Sang Lebah dapat mempelajari sesuatu daripada dua keputusan seri lalu sekali gus mengelak badi seri dalam perlawanan malam esok (malam ini).

"Apa yang penting, setiap pemain Johor FC harus bermain bermati-matian untuk meraih tiga mata penuh dan bukannya sekadar mengharap keputusan seri lagi," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Ramlan turut membayangkan akan mengekalkan kesebelasan pemain yang sama ketika bertemu Kedah pada Sabtu lalu kecuali terpaksa melupakan khidmat Mohd. Ezaidy Khadar yang baru kematian ibu tersayang baru-baru ini.

"Saya percaya barisan pemain yang dipimpin ketua pasukan, Wan Rohaimi Ismail mampu menterjemahkan setiap gerakan yang menarik sekali gus memastikan Selangor tumbang di Pasir Gudang.

"Pemain perlu bangkit mempamerkan aksi terbaik walaupun dijangka terpaksa berdepan dengan ujian getir daripada pasukan lawan itu," katanya.

Johor FC kini mengumpul lima mata untuk berada di tangga ketujuh liga, manakala Gergasi Merah terus selesa di puncak dengan sembilan mata.

Selain kedua-dua pasukan itu, satu lagi pasukan yang masih belum mengalami kekalahan selepas tiga perlawanan ialah KL Plus yang kini menghuni tangga kedua liga.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51NXFCKlX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan