ARKIB : 15/01/2009
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor
FC, Ramlan Rashid (gambar) belum mahu memasang cita-cita tinggi meskipun
pasukannya berjaya membenam juara Piala Sumbangsih musim ini, Selangor dengan
kemenangan 2-1, malam kelmarin.
Sebaliknya Ramlan berkata,
kemenangan tersebut menjadi suntikan semangat buat Johor FC untuk meneruskan
aksi cemerlang mengharungi kempen Liga Super yang masih di peringkat awal dan
keputusan yang dicapai itu bukannya untuk mendabik dada.
Katanya, laluan pasukan
berstatus kelab itu masih berdepan dengan pelbagai ujian getir kerana
menyifatkan apa sahaja boleh berlaku dalam permainan bola sepak.
Justeru kata jurulatih itu,
beliau mengingatkan para pemain Sang Lebah supaya mengekalkan komitmen dan
fokus dalam setiap perlawanan supaya tidak lagi tercicir sebarang mata penting
dalam misi memburu takhta liga.
"Perjalanan liga ini masih
jauh dan banyak perkara akan berlaku yang mana memerlukan Johor FC sentiasa
berhati-hati pada setiap perlawanan akan datang.
"Saya berharap para pemain
akan sentiasa mengekalkan prestasi mereka untuk menghadapi perlawanan
seterusnya dan menjadikan perlawanan semalam (kelmarin) sebagai titik tolak
untuk meraih kemenangan seterusnya," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini semalam.
Kemenangan itu berjaya
meletakkan Johor FC pada kedudukan tangga keenam liga dengan mengumpul lapan
mata setelah beraksi dalam empat perlawanan dengan keputusan masing-masing dua
kemenangan dan seri.
Mengulas perlawanan menentang
Gergasi Merah itu, Ramlan memuji persembahan anak buahnya terutama pemain
seperti Khairi Kiman, M. Sivakumar, Mohd. Nurul Azwan Roya, Eddy Helmi Abd.
Manan dan penjaga gol gantian, Mohd. Zaidi Ibrahim yang mempamerkan aksi
bertenaga bagi mengekang kegarangan bahagian tengah Selangor menerusi gandingan
Mohd. Hardi Jaafar dan Mohd. Amri Yahyah.
"Saya gembira dengan
prestasi pemain yang berjuang habis-habisan selepas kami tempang pada awal
permainan apabila terpaksa beraksi 10 orang sejak minit ke-10.
"Malah saya juga ingin
mengucapkan terima kasih kepada ribuan penyokong yang hadir memenuhi stadium
sebagai antara faktor kejayaan Johor FC kerana menyuntik semangat kepada para
pemain," katanya.
Johor FC terpaksa berhempas
pulas untuk memastikan kemenangan biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain
sepanjang 80 minit perlawanan selepas pengadil perlawanan, Shawal Shariff
melayangkan kad merah kepada penjaga gol, Mohd. Anis Faron yang menjatuhkan
Mohd. Amirul Hadi Zainal di dalam kotak penalti.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Safee Sali mudah menyempurnakan sepakan penalti namun tindakan anak buah K.
Devan yang selepas itu memandang rendah kemampuan tuan rumah jelas menjerat
diri mereka.
Ditanya mengenai tindakan
mengeluarkan Fahruzzahar Ali untuk membawa masuk Mohd. Zaidi yang menimbulkan
kebimbangan penonton pada peringkat awalnya, Ramlan berkata, dia terpaksa
mengubah strategi permainan dengan meletakkan pemain tengah, Eddy Helmi sebagai
penyerang tunggal.
Katanya, pengalaman pemain
lincah itu yang pernah beraksi sebagai penyerang sebelum ini ternyata berbaloi
apabila menjaringkan gol penyamaan selepas bertindak bijak menyungkit bola
menewaskan penjaga gol lawan, Mohd. Hamsani Ahmad.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51TJPfJfS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan