Sabtu, 26 Jun 2021

ACL: Mora gembira JDT raih mata penuh

Oleh Rizar Mohd Noor - Jun 26, 2021 @ 11:46am

rizar@mediaprima.com.my



Penyerang JDT, Bergson Da Silva (dua dari kanan) diasak pemain Ratchaburi FC pada aksi Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Rajamangala, Bangkok. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

JOHOR BAHRU: Walaupun tampak bergelut meraih kemenangan, ia tetap menggembirakan Benjamin Mora selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih tiga mata pada aksi kedua Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi.

Kemenangan 1-0 ke atas kelab Thailand, Ratchaburi FC hasil jaringan Leandro Velazquez pada awal babak pertama itu jelas memberi lebih keyakinan buat skuad Harimau Selatan untuk mengharungi baki empat aksi selepas ini.

Mora sendiri tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana kemenangan itu bagaikan hadiah bermakna buat dirinya yang menyambut ulang tahun kelahiran.

"Barisan pemain saya berdepan aksi sukar apabila menentang pemain Ratchaburi yang berkelebihan bermain di tempat sendiri. Malah pasukan lawan begitu agresif menyusun serangan tapi kami mampu mengimbang kekuatan mereka pada babak pertama.

"Selepas gagal menyudahkan sepakan penalti di babak pertama, kami tidak hilang fokus sebaliknya tampil dengan corak permainan lebih tersusun pada babak kedua dan kerja keras itu membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol," katanya.

Mora menegaskan corak permainan pada aksi menentang skuad kendalian Sek-san Siripong adalah sama seperti ditampilkan ketika saingan Liga Malaysia dengan memberi tumpuan menyerang sambil mengawal perlawanan dan mengekalkan fempo permainan.

Namun pengendali kelahiran Mexico itu tampak bersimpati dengan penyerang, Bergson Da Silva yang gagal menyudahkan sepakan penalti pada aksi babak pertama.

"Saya dapat rasai perasaan Bergson yang jelas kecewa kerana gagal menyudahkan sepakan penalti tapi dia bersikap positif apabila sering beri ancaman ke kubu lawan dan hampir menjaringkan gol. Mungkin bukan hari dia menjaringkan gol," katanya.

Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan, Velazquez mengakui JDT terlepas beberapa peluang terbaik menjaringkan gol dan ia agak merisaukan.

"Jurulatih (Mora) tetap beri kata semangat ketika rehat dan mengingatkan kami semua supaya tidak beraksi dalam tekanan sebaliknya fokus pada aksi babak kedua. Itu yang kami lakukan apabila mengasak ke kubu lawan.

"Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan saya sendiri sedar perlu beri persembahan terbaik untuk membantu JDT menang. Apabila saya terima bola umpanan Safiq (Rahim), dengan pantas saya memusing badan dan merembat bola ke arah gol. Ia menggembirakan apabila bola menerjah jaring," kata Velazquez.1

_________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832271/acl-mora-gembira-jdt-raih-mata-penuh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan