Jumaat, 25 Jun 2021

Leandro wira JDT

Oleh Rizar Mohd Noor - Jun 26, 2021 @ 12:00am

rizar@mediaprima.com.my



PEMAIN JDT meraikan gol jaringan Leandro Velazques pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, sebentar tadi. Foto FB JOHOR Southern Tigers.

PEMAIN JDT meraikan gol jaringan Leandro Velazques pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, sebentar tadi. Foto FB JOHOR Southern Tigers.

JOHOR BAHRU: Pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Leandro Velazques muncul wira selepas jaringannya memastikan kemenangan 1-0 menewaskan Ratchaburi FC pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Harimau Selatan melonjak ke tangga kedua kumpulan selepas mengumpul tiga mata manakala Nagoya Grampus naik ke tangga teratas selepas menang 3-0 ke atas Pohang Steelers.

Penyerang JDT, Bergson Da Silva diasak dua pemain Ratchaburi pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Bangkok. Foto FB JOHOR Southern Tigers.

Pada pertembungan dua wakil kelab ASEAN dalam kancah ACL, pengendali JDT, Benjamin Mora membuat rombakan taktikal kesebelasan utama apabila menyenaraikan Safiq Rahim mengemudi di posisi tengah selain kelibat Akhyar Rashid yang beraksi di posisi sayap kiri manakala Safawi Rasid sekadar berada di bangku simpanan.

Malah, posisi bek kiri juga ada perubahan apabila mempertaruhkan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menggantikan Corbin Ong yang mengalami kecederaan tatkala pengendali kelahiran Mexico berkenaan melakukan percaturan formasi 4-1-4-1 pada pertembungan itu.

Percaturan itu hampir membuahkan hasil pada minit ke-10 selepas bola sepakan lintang Matthew Davies berjaya ditanduk Safiq yang tidak dikawal namun bola sekadar sipi dari gawang gol ketika penjaga gol, Kampon Phatomakkukul sudah tertewas.

Ketika aksi memasuki minit ke-18, berpunca daripada bola umpanan Ariff Aiman Hanapi, Bergson Da Silva hampir memecah kebuntuan jaringan namun bola rembatan kencang di luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol.Asakan berterusan skuad Harimau Selatan ke kubu Ratchaburi FC menyaksikan Pawee Tanthatemee terpaksa menjatuhkan Bergson di dalam kotak penalti pada minit ke-27 dan pengadil dari Iran, Alireza Faghani tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Namun, nasib tidak menyebelahi Bergson selepas bola sepakan penalti berjaya diselamatkan Kampon yang pantas merebahkan badan di sebelah kanan gawang dan JDT terlepas untuk membuka tirai jaringan.

Sepanjang babak pertama Kampon bagaikan duri dalam daging buat JDT selepas sering menidakkan percubaan berbahaya Bergson yang bagaikan buntu untuk merobek gawang skuad kendalian Sek-san Siripong.

Sebaik babak kedua bermula, Kampon akhirnya tertewas selepas gagal menepis bola rembatan deras Velazquez yang tepat ke penjuru kanan gol pada minit ke-47 berpunca daripada umpanan Safiq di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Siripong mengatur gerakan untuk memburu gol penyamaan namun bola rembatan pemain gantian, Jirawat Thongsaengphrao berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.1

_________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832179/leandro-wira-jdt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan