Rabu, 23 Jun 2021

Mora enggan melatah tewas dengan gol kontroversi

Rizar Mohd Noor - Jun 23, 2021 @ 12:04pm

rizar@bhsukan.com.my



Pemain tengah JDT, Leandro Velazquez dikepung kapten Nagoya Grampus, Takuji Yonemoto (kanan) dan Hiroyuki Abe (kiri) pada aksi Kumpulan G ACL di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Walaupun perit untuk ditelan selepas tewas berpunca daripada gol kontroversi, namun Benjamin Mora enggan melatah dengan keputusan pengadil perlawanan yang dianggap tidak masuk akal pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Bagi pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, apa yang dipamerkan barisan pemainnya ketika menentang Nagoya Grampus dari Jepun sudah mengikut perancangan taktikal, tetapi terpaksa menerima keputusan pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membenarkan jaringan Hiroyuki Abe.

"Apa yang dipamerkan pemain jelas menunjukkan semangat melawan biarpun sedar reputasi Nagoya yang dibarisi pemain berkualiti.

"Intensiti dan tempo perlawanan juga tinggi dengan kedua-dua pasukan mengasak ke kubu masing-masing, malah kami juga memperoleh dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada babak pertama menerusi Bergson (Da Silva) dan Ariff Aiman (Hanafi).

"Biarpun gol Bergson dibatalkan, ia bukanlah pengakhiran sebaliknya satu permulaan untuk kami meneruskan perjuangan," katanya.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal Hiroyuki Abe pada minit ke-60 melenyapkan hasrat skuad Harimau Selatan melakar keputusan seri, tatkala anak didik Mora hilang tumpuan selepas menyangka Ryogo Yamasaki berada di kedudukan ofsaid.

Walaupun JDT bangkit menyamakan jaringan pada minit akhir perlawanan selepas Bergson menanduk bola menewaskan penjaga gol, Mitchell Langerak, namun pengadil dari UAE, Mohammed Abdulla Hassan membatalkan jaringan itu.

Mora juga tidak menafikan barisan pemainnya terpaksa berdepan corak permainan agresif pertahanan dan tengah anak didik Massimo Ficcadenti yang kerap mengasari Safawi Rasid dan Ariff Aiman.

"Sepanjang tempoh 90 minit perlawanan, kami mempamerkan kesungguhan untuk bermain dengan baik dan ia terbukti apabila kami berdepan satu pasukan yang hebat.

"Pujian harus diberi kepada pemain saya yang mampu memberikan saingan kepada kelab dari Jepun itu," kata Mora.1

___________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/831151/mora-enggan-melatah-tewas-dengan-gol-kontroversi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan