Isnin, 21 Jun 2021

Awas helah JDT - Kakitani

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.con.my



Pemain Nagoya Grampus, Yoichiro Kakitani. FOTO Agensi

Kuala Lumpur: Tonggak tengah kelab Nagoya Grampus, Yoichiro Kakitani mengakui Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan lawan yang mudah untuk ditundukkan apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam esok.

Kakitani, 31, yang pernah beraksi bersama kelab Switzerland, FC Basel pada 2014 mendedahkan skuad kendalian Benjamin Mora memiliki corak permainan berpasukan yang baik.

"Kami sudah meneliti rakaman video perlawanan JDT dan mereka cukup berdisiplin dan bermain sebagai satu unit. Kami perlu berhati-hati dengan kelebihan mereka itu," katanya di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ujarnya lagi, kelab Korea Selatan, Pohang Steelers adalah pasukan pilihan dalam kumpulan dan menjangkakan halangan sukar daripada lawannya itu.

"Kami teruja untuk menentang Pohang di mana kelab Korea antara yang terbaik serta pencabar utama.

"Saya lihat mereka (Pohang) semakin meningkat dan ia akan menyajikan perlawanan yang sengit serta paling sukar buat kami.

"Selain itu Ratchaburi juga perlu diawasi kerana mereka ada kelebihan bermain di tempat sendiri dan sejak beberapa tahun lalu pasukan Thailand sudah menunjukkan peningkatan," katanya.Disiarkan pada: Jun 21, 2021 @ 3:39pm.1

________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/720746/awas-helah-jdt-kakitani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan