Rabu, 7 Disember 2016

Johor FC bersemangat walaupun kalah

ARKIB : 24/08/1999
JOHOR FC masih bersemangat walaupun kalah 4-0 kepada Terengganu dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Malaysia kumpulan B, Sabtu lepas.

Kelab dari Johor itu akan bertemu juara Piala Malaysia, Perak, dalam perlawanan keduanya di Stadium Pasir Gudang malam ini dan jurulatih Bruce Stowell mengharapkan satu keputusan yang membanggakan.

''Kekalahan dengan Terengganu bukan bermakna perjuangan kami sudah berakhir. Moral pasukan masih tinggi. Kita perlukan kemenangan selepas ini akan berusaha ke arah itu.

''Kita perlu memperbaiki segalanya. Untuk menang, kita juga perlu perkuatkan kedudukan di semua posisi,'' kata Stowell, yang mengharapkan kemenangan pertama sebagai jurulatih baru Johor FC.

Jurulatih Australia itu dilantik menggantikan Ronald Smith, yang kini pengarah kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Johor FC menduduki tempat kelima Perdana Dua di bawah Smith tahun lepas. Tahun ini mereka menduduki tempat ketiga di belakang juara, Johor, dan naib juara, Selangor.

Stowell mengakui Johor FC perlu memperbaiki beberapa kelemahan. Beliau telah berusaha ke arah itu sejak pulang dari Kuala Terengganu, Ahad lepas.

Beliau gembira kerana Johor FC bertemu awal dengan Perak kerana ia tidak akan memberi peluang kepada pemain berfikir lama mengenai kekalahan dengan Terengganu, sebaliknya berfikir tentang perlawanan hari ini.

''Saya memberitahu mereka supaya melupakan kekalahan itu. Sebenarnya kita bermain baik dengan Terengganu pada separuh masa pertama. Bagaimanapun kita memberikan gol mudah dan gagal pulih selepas itu.''

''Kita perlu bertindak cepat dengan kekalahan itu dan saya yakin para pemain boleh melakukannya. Saya mengharapkan persembahan lebih baik dalam perlawanan menentang Perak. Ia sebuah pasukan handal, tetapi kita perlu yakin,'' kata Stowell.

Perak juga tertekan dan perlukan kemenangan daripada perlawanan ini selepas kalah 1-2 kepada Melaka dalam perlawanan pertama mereka di Stadium Kubu. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4S8mrZmZ9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan