Ahad, 11 Disember 2016

Nilai Nazrin, Jasazrin RM1.5j

12 Disember 2016 12:25 AM
 Jasazrin JAMALUDDIN (kanan) akan menyertai Perak bersama Nazrin
Jasazrin Jamaluddin (kanan) akan menyertai Perak bersama Nazrin Nawi.
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mendedahkan, dua pemain mereka yang dilepaskan kepada Perak iaitu Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin bernilai RM1.5 juta.
JDT dalam Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers (JST) berkata, harga tersebut diletakkan kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dalam perbincangan kedua-dua pihak, sebelum mereka bersetuju untuk merendahkannya.
Juara Piala AFC 2015 itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa harga yang akhirnya dipersetujui, sebaliknya me­ngucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pemain te­ngah berkenaan.
“Pihak pengurusan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim telah bersetuju untuk melepaskan dua pemain kami iaitu Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin dengan harga untuk kedua-dua pemain tersebut adalah RM1.5 juta.
“Selepas berbincang dengan pihak Persatuan Bola Sepak Perak, kami bersetuju untuk mengurangkan harga tersebut dan melepaskan mereka pada Selasa ini kepada Pafa.
“Kami juga telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak penyerang kami, Amri Yahyah yang telah tamat dan turut akan melepaskan pemain tersebut.
“Saya mewakili seluruh keluarga JDT ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada tiga pemain ini yang telah membantu kejayaan kelab selama ini. Selamat maju jaya,” kata Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards.
Bekas bintang penyerang Se­langor, Amri, 35, hampir pasti akan me­nyertai Melaka United dan rundingan akhir dengan skuad Sang Kancil dijangka dicapai dalam pertemuan kedua-dua pihak esok.
Nazrin, 28, pula ber­aksi Negeri Sembilan dari 2012 hingga 2013 sebelum me­nyertai JDT pada 2014. Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu yang pernah membuat sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan sebelum ini turut me­nyarung jersi UPB-MyTeam, KL Plus dan Kuala Lumpur.
Jasazrin, 30, yang membina karier bersama Johor pernah beraksi sekali buat Harimau Malaysia.
Selain tiga pemain ber­kenaan, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali turut dikaitkan bakal meninggalkan JDT, dengan Pulau Pinang dikatakan menjadi destinasi baharunya.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nilai-nazrin-jasazrin-rm1-5j-1.418969#sthash.e3Mn6FPa.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan