Rabu, 7 Disember 2016

Johor FC tanpa dua tonggak hadapi Melaka

ARKIB : 31/08/1999
PASUKAN Johor FC akan turun tanpa dua tonggak iaitu Ketua Pasukan, Zainuddin Yassin dan penyerang, Anuar Abu Bakar dalam perlawanan play-off, menentang Melaka di Stadium Kubu, Melaka, malam ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatihnya, Bruce Stowell berkata, Zainuddin mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki dan tidak dapat turun berlatih sejak perlawanan menentang Perak, minggu lalu.

Katanya, Anuar juga tidak dapat beraksi menentang Melaka kerana demam sejak empat hari lalu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pihaknya kini mengharapkan bekas penyerang Sarawak, Shamsurin Abdul Rahman yang berasal dari Melaka untuk membawa cabaran Johor FC.

Selain Shamsurin, katanya, Johor FC juga akan menurunkan penyerang, S. Karthigesan yang sebelum ini mengalami kecederaan dan berharap pemain itu dapat bertahan untuk tempoh permainan selama 90 minit.

Johor FC kini menduduki tangga terbawah tanpa sebarang mata setelah tewas kepada Terengganu dan juga Perak dan sekiranya berjaya menumpaskan Melaka, Johor FC masih mempunyai peluang.

Ini memandangkan selain Melaka yang telah mengutip 6 mata, pasukan-pasukan lain dalam Kumpulan B itu, Terengganu dan Perak kini mengutip 3 mata.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S9nCIvrY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan