PENYERANG JDT, Gabriel Guerra
(kiri) melepasi asakan pemain pertahanan Magwe FC dalam perlawanan peringkat
Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru malam tadi.
JDT menang 3-1. Utusan/Raja Jaafar Ali
Azizi Majid
04 Mei 2017 3:00 AM
JOHOR BAHRU 3 Mei - Hatrik
penyerang dari Argentina, Gabriel Guerra berjaya membawa Johor Darul Ta’zim
(JDT) ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN setelah menewaskan kelab dari
Myanmar, Magwe FC 3-1 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan F di Stadium Tan
Sri Haji Hassan Yunos, di sini hari ini.
Bagaimanapun, mereka telebih
dahulu dikejutkan oleh pasukan pelawat yang memperoleh gol sulung perlawanan
pada minit kedua menerusi tendangan Kyaw Swar Linn sebelum jaringan Guerra
memastikan JDT kekal dengan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak
musim lalu.
Tersentak dengan gol awal itu,
skuad Harimau Selatan terus menggandakan asakan dan hampir menyamakan kedudukan
pada minit ke-13 namun tendangan R. Gopinathan tersasar dari gawang gol.
Pasukan tuan rumah akhirnya
memperoleh gol penyamaan setelah tendangan padu Guerra dari luar kotak penalti
pada minit ke-14 terus menerjah ke gawang gol.
JDT yang terus mengasak berjaya
memperoleh beberapa peluang antaranya menerusi Safiq Rahim pada minit ke-25
namun tendangannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Magwe, Kyaw Zin Phyo.
Magwe yang enggan mengalah
turut mempunyai peluang menerusi dua percubaan Cho Tun pada minit ke-22 dan 25,
namun tendangannya sekadar melewati palang gol meskipun berjaya menembusi
tembok pertahanan JDT secara solo.
Masuk babak kedua perlawanan,
anak-anak buah Benjamin Mora terus melipatgandakan serangan sebelum Guerra
menjaringkan gol keduanya menerusi tandukan pada minit ke-58 sebelum dia
menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78.
Mengikut format terkini Piala
AFC musim ini, sebanyak 11 pasukan dari Zon ASEAN membabitkan tiga kumpulan
iaitu Kumpulan F, G dan H berentap merebut empat tempat ke pusingan seterusnya.
Sementara itu dalam Kumpulan G,
Felda United gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 1-4 kepada Hanoi FC dalam
aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi.
Hanoi memperoleh gol menerusi
Pham Duc Huy pada minit ke-52 sebelum Nguyen Van Quyet meledak dua gol pada
minit ke-78 dan 86 dan Do Hung Dung pada penghujung perlawanan sebelum Felda
meraih gol saguhati pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti Gaston
Cellerino.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-ke-separuh-akhir-8232-piala-afc-zon-asean-1.477093#ixzz4g6K0iwPW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan