ISMAIL
IBRAHIM (dua dari kiri) berjabat tangan dengan ketua jurulatih Magwe
FC, Zwan Win Tun sambil disaksikan tonggak JDT, Aidil Zafuan Radzak
(kiri) dan Ketua Pasukan Magwe FC, Nanda Kyaw selepas berakhir sidang
akhbar di Johor Bahru, semalam. BERNAMA
JOHOR
BAHRU 2 Mei - Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa misi penting untuk
memburu kemenangan dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan F Piala AFC
menentang kelab Myanmar, Magwe FC bagi mencerahkan peluang melayakkan
diri ke pusingan separuh akhir Zon ASEAN.
Mengikut format terbaharu Piala AFC
musim ini, sebanyak sebelas pasukan dari Zon ASEAN melibatkan tiga
kumpulan, iaitu kumpulan F, G dan H berentap merebut empat tempat ke
pusingan seterusnya.
Jurulatih JDT, Ismail
Ibrahim berkata, Harimau Selatan tidak mempunyai pilihan selain mengutip
tiga mata untuk terus bersaing dalam kempen Piala AFC yang pernah
dimenangi pada tahun 2015.
Beliau berkata, JDT akan membariskan skuad
terbaik apabila menentang kelab dari Myanmar itu biarpun ada beberapa
pemain tidak dapat diturunkan ekoran belum cergas sepenuhnya dan
berdepan penggantungan.
Pada masa ini,
Gonzalo Cabrera belum pasti dapat diturunkan kerana tidak mencapai tahap
kecergasan sepenuhnya, manakala Fadhli Shas masih dibelenggu kecederaan
dan Safawi Rasid menjalani penggantungan satu perlawanan.
"Ini
adalah perlawanan penting bagi JDT dan kami akan pastikan pasukan mampu
mengutip tiga mata untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Kita
tahu mengenai kekuatan pasukan lawan menerusi perlawanan terdahulu yang
berkesudahan 1-1. Mereka gemar melakukan serangan menerusi hantaran
jauh dan bertindak pantas untuk menghukum lawan
"Menjelang
pertemuan ini, barisan pemain sudah bersedia mental dan fizikal setelah
mendapatkan rehat secukupnya," katanya dalam sidang akhbar, di sini
hari ini.
Setakat ini, hanya pasukan Kumpulan H, Home United dari Singapura mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN.
JDT
berada pada landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan
seterusnya selaku pasukan tempat kedua terbaik mengatasi pasukan di
tempat kedua Kumpulan G, Hanoi FC dari Vietnam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan