Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Permulaan pusingan
kedua saingan Liga Super dianggap mencabar buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT)
selepas skuad Harimau Selatan itu hilang beberapa tonggak utama untuk pertemuan
menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Afiq Fazail dan Nazmi Faiz
Mansor tidak boleh diturunkan kerana digantung satu perlawanan sekali gus
mengundang resah pengendali Johor DT Benjamin Mora yang harus merencana
strategi lebih ampuh untuk berdepan anak buah Eric Williams.
Lebih memeritkan Mora, kecederaan
dialami Aidil Zafuan Abd Radzak dan Safiq Rahim ketika aksi Piala AFC, Rabu
lalu masih belum menampakkan tanda-tanda akan pulih.
“Pasti akan ada rombakan tapi
saya tetap menurunkan barisan terbaik kerana tidak mahu kehilangan mata selain
ingin menjarakkan diri dengan pencabar terdekat, Pahang serta Kedah.
“Melaka bukan pasukan lemah
kerana mereka dibarisi pemain hebat dengan adanya Sergio Aguero dan Ilija
Spasojevic. Kedua-dua pemain itu mampu memberi ancaman buat kami,” katanya.
Mengulas mengenai jadual
perlawanan pusingan kedua liga yang menyaksikan Johor DT terpaksa mengharungi
tujuh pertemuan di tempat lawan berbanding empat laman sendiri, Mora pantas
mengaku berdepan tugas mencabar dengan anak buahnya perlu mengekalkan tahap
konsisten.
Katanya, selaku pendahulu liga,
setiap perlawanan dianggap sukar namun berbekalkan semangat juang tinggi, tidak
mustahil apa yang dirancang mampu diterjemahkan.
“Pada pusingan kedua, ada
pasukan yang akan lebih mantap dan mungkin juga ada pasukan merosot, justeru
kami perlu menunjukkan peningkatan dan konsisten setiap perlawanan,” kata Mora.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan