Sabtu, 6 Mei 2017

JDT terus kuasai carta liga



 
PENJAGA gol Kelantan, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid berjaya menangkap bola daripada disambar penyerang Pahang pada aksi Liga Super di Kuantan malam tadi yang menyaksikan Kelantan menang 3-2.

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super walaupun sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Satu mata sudah memadai buat JDT untuk kekal memimpin kedudukan liga dengan mengumpul 27 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu kini terus menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Pahang dengan kelebihan 6 mata.

Pada aksi malam tadi, JDT yang berdepan dengan jadual padat sepanjang minggu lalu selepas menggalas cabaran pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tetap tampil dalam kelas tersendiri walaupun merehatkan beberapa pemain utama termasuk penyerang, Gonzalo Cabrera.

Mereka memperoleh jaringan pembukaan menerusi sepakan percuma kapten, Safiq Rahim pada minit ke-59.

Selepas jaringan tersebut, mereka mula memperlahankan rentak permainan, namun Melaka United tetap mendapati sukar untuk meloloskan diri.

Begitupun, pasukan tuan rumah berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-87 menerusi jaringan pemain import, Jeon Woo Young.

Melaka United harus menyalahkan diri mereka sendiri atas kegagalan meraih tiga mata penuh kerana jentera serangan mereka seolah-olah buntu untuk menyempurnakan peluang yang mereka cipta.

Dalam dua lagi perlawanan lain, pasukan yang menjadi mangsa pemotongan mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), T-Team dan Kelantan tampil cemerlang apabila memusnahkan lawan masing-masing.

Paling menarik ialah kejayaan Kelantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang menyaksikan mereka menghampakan tuan rumah dengan kemenangan 3-2.

Gol-gol Kelantan dijaringkan oleh Alessandro Celin seawal minit ke-17 dan menerusi Mohammed Ghaddar pada minit ke-72 dan 79.

T-Team pula menghampakan Perak 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menerusi jaringan Mamadou Samassa pada minit kesembilan, Wan Ahmad Amirzafran (m-72) serta ledakan Farhod Tadjiyev pada minit ke-79.

Kemenangan tersebut menyaksikan T-Team melonjak ke tangga ketujuh liga dengan 13 mata manakala Kelantan menghuni tangga keenam, juga dengan 13 mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gLfvUv5p
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan