MOHD. NIDZAM (dua dari kiri)
dan Morais (dua dari kanan) memegang trofi Piala Malaysia menjelang aksi final
yang menemukan Kedah dan JDT di Stadium Shah Alam malam ini. Turut kelihatan
kapten Helang Merah, Khairul Helmi Johari (kiri) serta ketua pasukan skuad
Harimau Selatan, Safiq Rahim.
SAINGAN bola sepak tempatan
bagi musim 2017 sampai ke kemuncak malam ini apabila dua jagoan bola sepak
negara bakal berentap di Stadium Shah Alam bagi merangkul gelaran juara Piala
Malaysia edisi ke-91.
Kedah yang unggul dengan
kejuaraan Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini dalam misi memburu kejuaraan
keenam selepas memenanginya pada edisi 1990, 1993, 2007, 2008, 2016.
Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT)
yang masih segar dengan gelaran juara Liga Super empat kali berturut-turut mahu
memenangi satu-satunya trofi yang belum pernah dimenangi selepas penjenamaan
kelab pada 2013.
Pasukan Harimau Selatan itu
pernah memenangi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim 2015 dan Piala
FA 2016, selain Piala Sumbangsih dua musim berturut-turut (2015 dan 2016).
Strategi ampuh dan taktikal
terbaik direncana kedua-dua jurulatih dengan Mohd. Nidzam Adzha Yusoff
membimbing Kedah, manakala JDT mendapat sentuhan jurulatih import dari
Portugal, Ulisses Morais yang bakal menjadi penentu kejayaan pasukan
masing-masing.
Dalam pada itu, Mohd. Nidzam
mahu memahat kenangan manis untuk menjuarai Piala Malaysia sebagai ketua
jurulatih.
“Kami memiliki rekod yang baik
di Stadium Shah Alam dan saya harap tuah tersebut akan berterusan apabila kami
bertemu dengan JDT nanti,” katanya.
Morais pula menyifatkan aksi
final itu bagaikan perlawanan epik untuk menutup kempen Liga Malaysia musim ini
selepas kedua-dua pasukan berada dalam kemuncak prestasi.
“Skuad JDT berada dalam tahap
terbaik kerana kami memiliki pemain terbaik untuk memenangi trofi ini. Kami
juga memiliki keyakinan dengan cara tersendiri. Kami mahu memenanginya,” ujar
Morais.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4xQbtIZFe
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan