Isnin, 27 November 2017

Johor tetap waspada keupayaan Kedah

ARKIB : 03/07/2008
JOHOR BAHRU - Skuad Johor FC diingatkan agar tidak merendah diri ketika melayan kunjungan juara bertahan, Kedah pada pertemuan Piala Malaysia malam ini, lapor Hamdan Tawadi.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid berkata, skuad bimbingannya harus memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri, termasuk kemerosotan prestasi pasukan juara Liga Super dan Piala FA itu dalam beberapa perlawanan pada saingan Piala Malaysia baru-baru ini.

''Kedah adalah pasukan yang berkualiti dan seimbang di semua bahagian, namun faktor kepenatan selepas bermain terlalu banyak perlawanan menyebabkan prestasi pasukan itu merosot.

''Oleh itu pemain-pemain Johor FC sewajarnya memanfaatkan kesempatan ini, namun pada masa yang sama jangan pula leka sehingga mengambil mudah perlawanan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ramlan berkata, walaupun bakal berdepan tugas berat dengan empat pemain utama mengalami kecederaan termasuk dua tonggak penyerang import, Walter Ariel Silva dan Gustavo Andre Fuentes, kemenangan boleh dicapai jika para pemain mempunyai keazaman tinggi dan sanggup berusaha keras.

Turut mengalami kecederaan adalah pemain tengah, Mohd. Azizan Baba dan pertahanan, Mohd. Riduwan Maon.

Ditanya mengenai prestasi pasukannya, beliau agak berpuas hati dengan barisan penyerangnya yang dilihat menunjukkan peningkatan namun akan berusaha memperbaiki keupayaan barisan pertahanan yang agak goyah.

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan Kumpulan B, Johor FC kini berada di tangga kedua setelah mengutip tujuh mata manakala Kedah di tempat keempat dengan lima mata.

Kumpulan B kini diungguli PDRM dengan lapan mata selepas mengharungi empat perlawanan. Malam esok mereka akan berdepan pasukan yang menduduki tangga kedua terbawah dalam kumpulan itu, Sabah yang kini hanya memperoleh empat mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zdPw1EFr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan