Sabtu, 4 November 2017 |
11:40pm
PEMAIN JDT, meraikan kejayaan
menjuarai trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di
Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Shahril Badri Saali
Trofi Piala Malaysia sulung JDT
Oleh Aziman Rosdi
, Firdaus Hashim
danZulfaizan Mansor &
Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my
SHAH ALAM: Johor Darul Ta'zim
(JDT) membuktikan mereka raja bola sepak tanah air ketika ini apabila merangkul
kejuaraan Piala Malaysia buat julung kali selepas menewaskan juara bertahan
Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Dua gol pada setiap babak
menerusi jaringan Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera memastikan trofi itu
kembali menuju ke selatan tanah air selepas Johor muncul juara pada 1985 dan
1991.
Gelaran itu melengkapkan
kabinet trofi JDT sejak ditubuhkan pada 2013 apabila mereka merangkul kejuaraan
Liga Super 2014, 2015, 2016 dan 2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015 dan
2016 serta Piala AFC 2015.
Final yang disaksikan 80,000
penyokong ibarat pertemuan buku dengan ruas apabila JDT mahu memburu gelaran
kedua musim ini selepas meraih kejuaraan Liga Super kali keempat
berturut-turut.
AIDIL Zafuan meraikan jaringan
pertama JDT ketika menentang Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium
Shah Alam, sebentar tadi. antara pasukan Kedah menentang JDT di Stadium Shah
Alam. - Foto Shahril Badri Saali
PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera
(kiri) diasak pemain Kedah, Mohamad Amirul Hisham Awang Kechik (tengah) pada
aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Shahril Badri Saali
Helang Merah pula mengintai
trofi ketiga selepas menewaskan JDT bagi perebutan Piala Sumbangsih sebelum
menjulang Piala FA dengan mengecewakan Pahang 3-2 pada final.
Bagaimanapun Kedah yang
dibimbing Nidzam Adzha Yusoff tersentak dengan gol seawal minit ketiga menerusi
tandukan pemain pertahanan Aidil berikutan sepakan sudut kapten Safiq Rahim.
Strategi jurulatih JDT, Ulisses
Morais memasukkan Hazwan Bakri mengambil tempat penjaring terbanyak Liga Super
Mohammed Ghaddar nyata memberi impak.
Hazwan, wira Piala Malaysia
Selangor pada 2015, mencipta peluang kepada Natxo Insa dan Gabriel Guerra namun
ketangkasan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menyelamatkan
keadaan.
Satu-satunya peluang terbaik
dicipta Kedah hadir pada minit ke-26 namun tolakan penyerang Ken Ilso selepas
penjaga gol Izham Tarmizi Roslan menerpa keluar berjaya dikeluarkan S Kunanlan.
Kedah yang memburu kejuaraan
keenam selepas 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016 mula mengasak pada babak kedua
dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Baddrol Bakhtiar sekadar singgah
di palang.
Namun anak buah Morais
menyentap semangat lawan dengan gol kedua pada minit ke-63 apabila pemain
import Cabrera yang menerima hantara Hazwan melepaskan sepakan menewaskan
Ifwat.
Tuah nyata bukan milik Kedah
apabila tandukan Baddrol pada minit ke-67 terkena tiang sekali gus memberi
kegembiraan buat JDT yang kecewa tewas pada final 2014 kepada Pahang menerusi
penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 2-2.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan