Ahad, 30 April 2017

Eddie kekal bersama Johor FC

ARKIB : 14/11/2004
PEMAIN bola sepak kebangsaan Eddie Helmi Manan akan kekal bersama pasukan Johor FC sekurang-kurangnya untuk dua musim lagi sehingga 2006 apabila kontraknya dengan pasukan kelab Liga Perdana itu tamat, kata setiausaha kelab Mohd Tahir Hamdan.
Menurutnya Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang berminat mendapatkan khidmat Eddie Helmi bagi musim depan juga telah diberitahu menerusi surat mengenai keputusan kelab itu tidak melepaskan pemain kebangsaan berkenaan.
``Kita juga telah memberitahu Eddie secara lisan tentang keputusan untuk tidak melepaskan beliau. Beliau mempunyai kontrak dengan Johor FC selama tiga tahun sehingga 2006 (mulai musim 2004),'' katanya kepada Bernama di Johor Bharu semalam.
Beliau berkata pasukan Johor FC yakin pemain sayap kebangsaan itu akan akur dengan keputusan kelab dan bersama pelatih-pelatih skuad yang lain memulakan latihan bagi menghadapi musim Liga Perdana yang baru.
Baru-baru ini Eddie Helmi menyuarakan hasratnya untuk menyarung jersi Selangor bagi Liga Perdana musim depan sekaligus menyertai penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus serta V.Saravanan yang mewakili pasukan Merah Kuning itu.
Bagaimanapun hasratnya itu tidak tercapai apabila pasukannya, Johor FC enggan melepaskan beliau kepada Selangor.
``Beliau (Eddie) boleh ke Selangor dengan menamatkan kontraknya dengan Johor FC, tetapi beliau perlu membayar ganti rugi berupa pembayaran gaji selama dua musim kepada pasukan lamanya itu,'' kata Mohd Tahir.
Mengenai persiapan Johor FC untuk menghadapi Liga Perdana musim depan, beliau berkata pemilihan pemain akan dilakukan selepas kepulangan jurulatih, Rau Carizo dari Australia pada 21 Nov ini.
Jurulatih Johor FC itu katanya akan meneruskan dasar yang diamalkan pada musim lepas iaitu menumpukan kepada pemain muda bawah 25 tahun bagi mengemudi cabaran kelab tersebut pada Liga Perdana.
Menurut Mohd Tahir, pemilihan yang turut menarik pemain dari luar Johor itu akan tertumpu kepada usaha pasukan bagi mengisi beberapa posisi dalam pasukan yang kini kosong. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan